Isnin, 31 Oktober 2016 | 12:21pm

4 pendebat UIAM diberi penghargaan

PRESIDEN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) beramah mesra bersama (dari kiri) Pendebat, Sara Abdul Rahim, Ameera Natasha Moore, Mubarrat Wassey dan Ahmad Syarifuddin Ahmad Fakhri pada majlis penghargaan kepada pendebat UIAM. Keempat-empat pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini masing-masing menerima penghargaan dari pihak universiti selepas menjuarai Pertandingan Debat Parlimen British Asia, 7 hingga 13 Oktober lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberi penghargaan kepada empat pendebatnya yang menjuarai Pertandingan Debat Parlimen British Asia yang berlangsung pada 7 hingga 13 Oktober lalu.

Dua pasukan pendebat berkenaan diberi penghargaan berkenaan selepas mengetepikan 79 pasukan dari universiti Asia dalam pertandingan itu yang diadakan di Universiti Prasetiya Mulya, Jakarta, Indonesia.

UIAM menghantar dua pasukan pendebat, yang mana pasukan debat pertama Mubarrat Wassey (jurusan ekonomi) dan Ameera Natasha Moore (jurusan undang-undang) masing-masing menerima RM2,000 daripada pihak universiti.

Mereka turut menerima anugerah tempat pertama dan kedua pendebat terbaik keseluruhan.

Pasukan kedua pula dianggotai Ahmad Syarifuddin Ahmad Fakhri dan Sara Abdul Rahim yang turut tersenarai sebagai penerima anugerah 10 Pendebat Terbaik Kejohanan.

Ahmad Syarifuddin menerima RM1,000 dan Sara menerima RM2,000.

Cek penghargaan disampaikan Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim, di sini, sebentar tadi.

Pada pertandingan akhir empat penjuru itu, UIAM muncul juara selepas mengetepikan tiga institusi pengajian tinggi dari Singapura iaitu Singapore Management University (SMU), Nanyang Technological University (NTU) dan Yale-NUS College (YNC).

Pertandingan kali ini menggunakan format perdebatan Parlimen British yang menyaksikan empat pasukan berentap antara satu sama lain pada pusingan akhir dengan UIAM mempertahankan usul.

Berita Harian X