Sabtu, 12 November 2016 | 5:55pm

Doktor habiskan 10 rusuk kambing dalam 5 minit 13 saat

ANTARA peserta wanita yang menyertai Pertandingan Makan Rusuk Kambing di Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA peserta wanita yang menyertai Pertandingan Makan Rusuk Kambing di Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Menghabiskan 10 rusuk kambing panggang dalam masa lima minit 13 saat melayakkan seorang doktor dinobatkan sebagai juara Pertandingan Makan Rusuk Kambing anjuran Tony Roma's di pusat beli-belah Mahkota Parade di sini, hari ini.

Juara kategori lelaki, Dr Muhammad Amir Ayob, 30, dari Kuala Lumpur menewaskan 10 peserta lain, sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah baucar makan di Tony Roma's selama setahun bernilai RM2,400.

Dr Muhammad Amir yang bertugas di Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), berkata beliau menyertai pertandingan itu secara suka-suka dan tidak sangka merangkul gelaran juara pada pusingan akhir.

Katanya, beliau memang penggemar makan rusuk kambing di restoran yang terkenal dengan sajian utama berasaskan barbeku dan stik itu bagi menikmati hidangan bersama keluarga.

"Saya tertarik untuk menyertai pertandingan ini selepas melihat iklan yang disiarkan di laman Facebook. Bagi saya, apa salahnya mencuba dan tidak sangka bernasib baik merangkul gelaran juara.

"Pada pertandingan tadi, tiada sebarang rahsia. Saya hanya gunakan teknik kurangkan kunyah dan terus menelan daging, itu saja," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Ketua Pegawai Pemasaran Antarabangsa Tony Roma's, Jim Rogers.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Jenama Tony Roma's, Muhammad Adam Mah.

Sementara itu, kategori wanita dimenangi seorang jurutera, MasHasliza Ismail, 32, dari Masjid Tanah yang menghabiskan tiga rusuk kambing panggang dalam masa tiga minit, menewaskan 10 peserta akhir.

Berita Harian X