Khamis, 1 Disember 2016 | 12:01am

Mahasiswa bekerja sambilan demi tampung kos sara hidup

PELAJAR Ijazah Sarjana Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Othman Mat Rani (tiga dari kanan), bekerja sambilan sebagai mutawif bawah agensi umrah tempatan sejak Oktober tahun lalu. - Foto ihsan Pembaca
PELAJAR Ijazah Sarjana Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Othman Mat Rani (tiga dari kanan), bekerja sambilan sebagai mutawif bawah agensi umrah tempatan sejak Oktober tahun lalu. - Foto ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR: Isu kewangan sering menghambat mahasiswa yang bukan sahaja harus cekal bergelut dengan cabaran pengajian tetapi juga menangani kos sara hidup tinggi dalam mengharungi keadaan ekonomi amat mencabar kini.

Senario itu mendorong kemunculan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban mereka dan pada masa sama, semakin ramai mahasiswa nekad menerjuni dunia keusahawanan atas semangat berdikari.

Bagi sebilangan yang tiada kecenderungan atau kesediaan untuk berdepan risiko menjalankan perniagaan sendiri, mereka sanggup menanggung penat lelah bekerja sambilan dalam pelbagai sektor pasaran.

Kerajaan tidak melarang usaha itu, malah menggalakkan mahasiswa memanfaatkan peluang pekerjaan untuk membantu mereka menampung peningkatan kos sara hidup.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang peraturan kepada universiti awam (UA) berhubung mahasiswa bekerja sambilan ketika mengikuti pengajian.

Lebih berdisiplin, berdikari

"Alam pekerjaan mampu melatih mereka menjadi lebih berdisiplin dan berdikari selaras matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) untuk melahirkan graduan holistik.

"Selain memperoleh pendapatan sampingan, mereka boleh menimba pengalaman untuk persediaan memasuki bidang pekerjaan selepas menamatkan pengajian nanti," katanya kepada BH Varsiti di sini.

Awal tahun ini, Kementerian Pendidikan Tinggi melancarkan Projek Berdikari, iaitu platform dalam talian yang memudahkan mahasiswa di negara ini mendapatkan peluang pekerjaan sambilan.

Bayaran RM4 sejam

Projek dikendalikan oleh Malaysian Youth Community! (MYC!) itu turut menyenaraikan nama syarikat atau agensi yang menawarkan kerja sambilan dengan waktu fleksibel menerusi laman web: myc.com.my/projekberdikari.

Pekerjaan ditawarkan melalui projek itu adalah separuh masa dan sementara bagi tempoh tiga jam, tiga bulan hingga setahun.

Sementara itu Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata pihak universiti sentiasa menggalakkan mahasiswa bekerja sambilan bagi menampung kehidupan mereka.

Beliau berkata, UPSI bahkan turut menyediakan peluang seumpama di dalam kampus, antara lain membantu tugas di perpustakaan dengan kadar bayaran RM4 sejam untuk pelajar yang berminat.

Bijak bahagikan masa

"Saya menggalakkan mereka bekerja sama ada di dalam atau luar kampus. Melalui usaha sebegini, mereka boleh menimba pengalaman dunia kerjaya sebenar dan menjana pendapatan sendiri.

"Bagaimanapun, mahasiswa perlu bijak membahagikan masa supaya tidak mengganggu kuliah dan aktiviti kokurikulum mereka," katanya yang juga Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN).

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata universiti itu juga tidak menghalang mahasiswa bekerja sambilan kerana memahami keperluan mereka menampung pelbagai perbelanjaan.

"Oleh itu, UUM memberi ruang dan peluang untuk mereka bekerja di dalam mahupun luar kampus. Mereka boleh membuat pilihan sendiri tetapi jangan sehingga menjejaskan pembelajaran," katanya.

  • INFO: Projek Berdikari
  • Sejak dilancarkan pada 29 Februari lalu, lebih 25,000 mahasiswa sudah mendaftar untuk bekerja sambilan.

  • Majoriti mahasiswa yang mendaftar adalah dari Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Kelantan.

  • Antara pihak turut menjayakan ialah 7-Eleven, Nando's, Mercy Malaysia dan Starbucks.
Berita Harian X