Khamis, 22 Disember 2016 | 7:24pm

18 pegawai tentera terima ijazah sarjana

PENGERUSI Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor (empat dari kiri) serta Pengerusi dan Pengasas Universiti WMG Warwick, Prof Lord Kumar Bhattacharyya (lima dari kiri) bergambar bersama graduan "MSc In Engineering Business Management for Defence and Security" pada majlis konvokesyen di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 18 pegawai Angkatan Tentera Malaysia menerima Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan bagi Pertahanan dan Keselamatan daripada University of Warwick.

Mereka menerima skrol masing-masing daripada Pengerusi-Pengasas universiti itu, Lord Prof Kumar Bhattacharyya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, di sini, hari ini, iaitu tempat mereka mengikuti pengajian untuk program itu.

Program sarjana selama setahun itu mengiktiraf keperluan kepakaran tinggi dalam bidang ketenteraan dan keselamatan.

Sementara itu, Lt Kol Tan Chee Kee dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), seorang daripada peserta yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains dengan Kepujian, berterima kasih kepada keluarganya kerana memberi semangat dan galakan sepanjang beliau mengikuti pengajian itu.

"Isteri dan tiga anak saya sentiasa memberi sokongan moral ketika saya amat memerlukannya. Ini (ijazah Sarjana) adalah hadiah paling berharga yang pernah saya terima," katanya.

Seorang lagi peserta yang lulus dengan cemerlang, Lt Kol Azudin Hassan daripada 12 Briged Infantri, berkata komitmen dan ketabahan menjadi kunci bagi kejayaannya.

"Saya beri 100 peratus komitmen kepada pengajian dan semangat tabah mendorong saya untuk mencapai kejayaan," katanya.

Program itu dilancarkan pada 2012 dan dikhususkan bagi warga pasukan keselamatan di Malaysia dan dari negara anggota ASEAN.

Berita Harian X