Isnin, 2 Januari 2017 | 6:04pm

Sasaran 31.8j pelancong ke Malaysia tahun ini

MAS Ermieyati (tengah) pada Program Hari Keluarga 'Utamakan Keluarga' anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah di Simpang Ampat, Melaka, malam tadi. - Foto Norizzah Baharudin
MAS Ermieyati (tengah) pada Program Hari Keluarga 'Utamakan Keluarga' anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah di Simpang Ampat, Melaka, malam tadi. - Foto Norizzah Baharudin

ALOR GAJAH: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menjangkakan kedatangan pelancong ke negara ini meningkat kira-kira 4.3 peratus kepada 31.8 juta menerusi pelaksanaan Tahun Melawat Pahang, Perak dan Terengganu, tahun ini.

Timbalan Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata selaras Kempen Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je, inisiatif itu dilihat berupaya menarik kedatangan pelancong kerana ketiga-tiga negeri berkenaan mempunyai keistimewaan dan destinasi pelancongan menarik untuk dilawati.

"Tahun 2017 ini adalah tahun penting ke arah meningkatkan bilangan kemasukan pelancong.

"Tiga negeri itu agresif dalam mempromosikan negeri masing-masing dan menyertai banyak kempen di luar negara seperti di Berlin dan China," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Keluarga 'Utamakan Keluarga' anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah di Simpang Ampat di sini, malam tadi.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya akan membantu mempromosikan tiga negeri berkenaan menerusi program dan aktiviti pelancongan di peringkat kementerian.

Katanya, kedatangan pelancong ke Pahang, Terengganu dan Perak turut memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

"Perbelanjaan pelancong tahun ini dijangka meningkat kepada kira-kira RM118 bilion dan ia secara tidak langsung merancakkan sektor pelancongan negara," katanya.

Berita Harian X