Sabtu, 7 Januari 2017 | 2:20pm

Bekalan ikan mencukupi - Pengerusi LKIM

IRMOHIZAM (kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga ikan ketika melawat Pasar Tani Saujana Utama, Kuala Selangor, hari ini. - Foto Wan Jailani Razak
IRMOHIZAM (kiri) bertanya sesuatu kepada peniaga ikan ketika melawat Pasar Tani Saujana Utama, Kuala Selangor, hari ini. - Foto Wan Jailani Razak

KUALA SELANGOR: Tanggapan kononnya bekalan ikan sukar didapati dan mahal ketika ini, adalah tidak benar kerana Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah mengambil langkah menanganinya.

Menyifatkannya sebagai tohmahan, Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata keadaan itu berlaku berikutan tindakan peniaga menyorok bekalan bagi mendapat keuntungan mudah.

PENGERUSI LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGERUSI LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada peniaga supaya menghentikan tindakan itu kerana boleh menimbulkan panik dalam kalangan pengguna.

"Sejumlah 145 metrik tan ikan segar beku diaktifkan daripada tiga stok penyimpanan bagi menangani kekurangan bekalan berikutan musim tengkujuh.

"Ketiga-tiga stok berkenaan diperoleh daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut, Terengganu," katanya ketika meninjau Pasar Tani Saujana Utama di sini, hari ini.

Irmohizam turut mempromosi program Ikan Rakyat LKIM yang kini dijenamakan semula atas nama Q-Fish bagi mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

Katanya, program itu menawarkan ikan segar beku berkualiti sebagai pilihan yang dijual pada harga berpatutan, selain menggalakkan gaya hidup sihat.

Lawatan itu disertai oleh Pengarah Pemasaran LKIM, Baharuddin Kadri; Pengarah LKIM Selangor, Zulkarnain Asha'ari dan Timbalan Pengarah FAMA Selangor, Mohd Nazam Hussin.

Berita Harian X