Sabtu, 7 Januari 2017 | 7:45pm

Pekebun kecil, penoreh mangsa banjir boleh mohon bantuan

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) bertanya khabar kepada mangsa banjir ketika membuat lawatan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong, Pasir Mas. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PASIR MAS: Pekebun Kecil dan penoreh getah yang terjejas dengan banjir boleh memohon bantuan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pegawai bertanggungjawab di Kelantan dan Terengganu.

"Bantuan akan diberi selepas kami menerima laporan untuk meringankan beban pekebun dan penoreh yang terjejas dengan bencana ini.

"Selepas banjir surut, saya yakin kita akan menerima banyak laporan dan permohonan mangsa," katanya ketika kepada media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi KESEDAR, Datuk Abdul Aziz Derashid.

Ismail Sabri berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada kemusnahan infrastruktur, sekolah, tadika KEMAS, jalan luar bandar dan surau.

"Mangsa banjir tidak perlu bimbang kerana kita sedia memberi bantuan.

"Bantuan akan diberi supaya aktiviti pertanian dapat dijalankan seperti biasa selepas ini," katanya.

Berita Harian X