X
Jumaat, 13 Januari 2017 | 4:58pm

ASWAJA minta GERAKAN tunjuk bukti

PRESIDEN Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari. - Foto Hafiz Sohaimi
PRESIDEN Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Parti GERAKAN diminta menunjukkan bukti kajian dan analisis kononnya Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) mengancam perpaduan negara serta melahirkan pelajar yang cenderung menjadi ekstremis agama di negara ini.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, GERAKAN perlu membuktikan kajian dan analisis yang mereka maksudkan bersama metodologi, kaedah analisis dan dapatan yang jelas dan tuntas mengenai dakwaan berkenaan.

"Kegagalan GERAKAN menunjukkan analisis itu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan satu-satu kenyataan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Timbalan Presiden Parti GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata, SABK boleh mengancam perpaduan negara dan analisis serta kajian parti itu mendapati lulusan sekolah berkenaan cenderung terbabit sebagai ekstremis agama.

Zamihan berkata, tiada kajian dan penemuan oleh Bahagian Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kajian keganasan di Malaysia bahawa SABK berkecenderungan melahirkan ekstremis agama dan pandangan Timbalan Presiden GERAKAN itu adalah terlalu naif dan jahil.

"Untuk pengetahuan Dr Dominic, ideologi ekstremis Islam adalah Salafi Jihadi yang tonggak utamanya berasal dari ideologi Salafi Wahhabi. Malaysia mengamalkan Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), bukannya Salafi Wahhabi.

"Saya sarankan Dr Dominic mengkaji tentang perbezaan ASWJ dengan Salafi Wahhabi dan punca terrorisme di dunia yang berasal dari ideologi Salafi Wahhabi," katanya.

Beliau berkata, SABK tidak mengancam perpaduan negara kerana ia dibenarkan dalam Perlembagaan Malaysia berasaskan Perkara 3, malah kurikulum SABK juga berasaskan kurikulum kebangsaan dan ditambah dengan kurikulum pengajian Islam supaya pelajar lebih menguasai subjek agama Islam dan berpotensi menjadi seorang Islam dan warga negara Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Berita Harian X