Jumaat, 20 Januari 2017 | 5:45pm

Prof Ahmad Farhan dilantik TNC USM

Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

KUALA LUMPUR: Pakar bidang kejuruteraan pengangkutan, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, 50, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga tahun, berkuat kuasa 15 Mac depan.

Anak sulung daripada tiga beradik kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu menggantikan Prof Datuk Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal, 58, yang menyandang jawatan berkenaan sejak 15 September 2007.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada The Catholic University of America (1988); Diploma Imperial College (Imperial College of Science, Technology and Medicine - 1990); Ijazah Sarjana Sains dalam Pengangkutan (University of London - 1990) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Pengangkutan (University of London - 1995).

Prof Ahmad Farhan memulakan kerjaya sebagai pensyarah USM pada 1995, seterusnya berpengalaman memegang jawatan Penyelaras Unit Inovasi dan Pembangunan Teknologi (2000 - 2004), Dekan Pelantar Penyelidikan Kejuruteraan dan Teknologi (2004 - 2006) serta Pengarah Inovasi, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (2006 - 2007).

Beliau yang kini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam juga pernah dipinjamkan menjadi Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dari 2008 hingga 2011.

Sejak tahun lalu, beliau dilantik sebagai Ketua Kluster Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan, di samping menerima Anugerah Tokoh Keselamatan Jalan Raya 2015 daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Prof Ahmad Farhan turut terbabit dalam pelbagai jawatankuasa pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang pengangkutan meliputi keselamatan jalan raya, pengangkutan awam, kelestarian pengangkutan, Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) serta tingkah laku perjalanan dan kejuruteraan trafik.

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 2010.

Dalam dunia profesional pula, beliau antara lain adalah Ahli Majlis Persatuan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM), Ahli Majlis ITS Malaysia dan ahli Institut Jurutera Malaysia (IEM) serta Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australia (REAAA).

Prof Ahmad Farhan juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Jalan Sedunia (PIARC) Operasi Keselamatan Jalan dari 2008 hingga 2011.

Berita Harian X