Selasa, 24 Januari 2017 | 2:11pm

Bunga tolak kerusi roda suami redah banjir

MAD Isa berbual dengan isterinya di pusat pemindahan sementara di Dewan Inderawati, Beruas, hari ini - Foto Noor Hidayah Tanzizi
MAD Isa berbual dengan isterinya di pusat pemindahan sementara di Dewan Inderawati, Beruas, hari ini - Foto Noor Hidayah Tanzizi

BERUAS: Seorang wanita terpaksa menolak kerusi roda suaminya sejauh dua kilometer ke rumah saudara dalam keadaan hujan lebat selepas rumah mereka di Kampung Kilang, dekat sini, dinaiki air akibat banjir.

Mad Isa Pin, 72, dan isterinya, Bunga Osman, 60, antara 123 mangsa banjir membabitkan 54 keluarga dari beberapa kampung di Mukim Beruas yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Inderawati Beruas selepas kediaman mereka dinaiki air pada paras lebih tiga meter sejak semalam.

Mad Isa berkata, ketika banjir hanya mereka berdua berada di rumah berkenaan dan dia terpaksa menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berjalan jauh akibat sakit lutut.

"Ketika itu air sudah di paras lutut jadi kami bimbang jika keadaan lebih teruk iaitu air mungkin naik sehingga paras leher seperti kejadian banjir tahun lalu.

"Kami yang panik terus mengambil keputusan keluar dalam hujan lebat kira-kira jam 7 petang dan isteri terpaksa menolak saya dengan kerusi roda sejauh dua kilometer ke rumah anak saudara di Taman Anggerik Permai, di sini dalam keadaan hujan lebat," katanya.

Mad Isa berkata, dia hanya sempat menyimpan barangan berharga di tempat selamat sebelum bergegas ke rumah anak saudara.

Katanya, rumah anak saudaranya juga turut dinaiki air dan mereka dibantu pasukan penyelamat dan dipindahkan ke pusat pemindahan.

Berita Harian X