Selasa, 24 Januari 2017 | 7:39pm

MAHB lancar khidmat tukar terminal percuma

SEPANG: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) akan melancarkan perkhidmatan pertukaran terminal secara percuma kepada penumpangnya dalam masa terdekat.

PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Fariz Iswadi Ismail.
PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata dengan perkhidmatan itu, penumpang tidak perlu mengambil teksi atau menaiki tren untuk menukar penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau klia2.

Sebelum ini, katanya, penumpang yang ingin menukar terminal perlu membayar sekurang-kurangnya RM2 jika menggunakan tren atau lebih menerusi perkhidmatan teksi.

"Contohnya, seorang penumpang dari Kuching menggunakan terminal klia2 dan perlu menaiki penerbangan seterusnya ke London menggunakan terminal KLIA.

"Menerusi perkhidmatan baharu ini, penumpang hanya perlu ke kaunter dan menunjukkan tiket penerbangan.

"Kakitangan akan membawa bagasi sebelum menghantar penumpang ke bas disediakan tanpa caj," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Mitsui Outlet Park KLIA bersama media di sini, hari ini.

Badlisham berkata, perkhidmatan pertukaran terminal itu adalah antara 60 inisiatif pengalaman lapangan terbang menyeluruh kepada penumpang.

Katanya, ia dianggar membabitkan kos RM50 juta dan sehingga hujung tahun lalu, sebanyak 29 inisiatif sudah dilaksanakan.

Berita Harian X