Selasa, 24 Januari 2017 | 11:04pm

Banjir: 13 sekolah di Kelantan masih ditutup

MURID dan guru yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh, Permaisuri meredah banjir hari ini. - Foto BERNAMA
MURID dan guru yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Kampung Buloh, Permaisuri meredah banjir hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Sebanyak 13 sekolah menengah dan rendah masih ditutup esok berikutan banjir.

Pengarah Pendidikan negeri, Jaafar Ismail, berkata semua sekolah berkenaan terpaksa terus ditutup kerana masih ditenggelami air, terputus hubungan serta berbahaya kepada keselamatan guru dan murid.

Katanya, sekolah yang ditutup membabitkan tiga daerah iaitu dua di Kuala Krai, Tumpat (empat) serta di Pasir Mas (tujuh) membabitkan seramai 4,410 orang murid dan pelajar.

"Sekolah yang terbabit dengan banjir akan bercuti sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian mengikut keadaan semasa banjir," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Sementara itu, Jaafar memaklumkan hingga jam 5 petang tadi, sebanyak enam sekolah di dua daerah masih lagi dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Seramai 394 mangsa banjir masih lagi ditempatkan di enam sekolah di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Pasir Puteh.

"Kita akan menunggu laporan terperinci daripada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbabit dari semasa ke semasa dan untuk mendapatkan jumlah terkini sekolah yang dijadikan pusat pemindahan serta yang masih ditenggelami air,"katanya.

Sementara itu, mengikut laporan portal eBanjir Kelantan, hingga jam 5 petang tadi jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun secara mendadak apabila mencatatkan mangsa seramai 237 orang berbanding 2,937 orang pada jam 1 tengah hari tadi.

Semua 65 keluarga mangsa banjir masih ditempatkan di enam pusat pemindahan di empat daerah iaitu Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Berita Harian X