Sabtu, 28 Januari 2017 | 8:06pm

Dodi dan Dodo "meriahkan" sambutan Tahun Baharu Cina

GELAGAT burung emu menjamah Yee Sang memeriahkan gimik sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) di langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman
GELAGAT burung emu menjamah Yee Sang memeriahkan gimik sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) di langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Gelagat dua burung emu yang diberi nama 'Dodi' dan 'Dodo' masing-masing berusia tiga tahun menggaul dan menjamah Yee Sang memeriahkan gimik sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) di sini, hari ini.

Selain Dodi dan Dodo, turut melakukan gimik sama seekor kasuari bernama 'Wary' berusia 15 tahun sambil menerima tepukan gemuruh pengunjung yang berada di taman itu.

Terdahulu acara menggaul Yee Sang diadakan mulai jam 10 pagi oleh kakitangan pusat pelancongan itu yang turut disertai pelancong tempatan dan asing.

Pengurus Taman dan Perhubungan Awam THLL, Nur Hamzani Hamzah, berkata acara itu adalah sebahagian program yang disusun bagi memeriahkan sambutan perayaan itu tahun ini yang juga tahun ayam.

"Kami memilih emu dan kasuari untuk melakukan gimik kali ini kerana kedua-dua haiwan ini tergolong dalam kumpulan ayam seiring tema sambutan pada tahun ini.

"Tahun lalu kami sajikan makanan tradisi masyarakat Tiong Hua, Yee Sang kepada monyet sempena tahun Monyet dan tahun sebelumnya kepada kambing sempena tahun Kambing," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Nur Hamzani juga berkata, THLL yang memiliki lebih 60 spesies haiwan dari dalam dan luar negara adalah antara destinasi mesti lawat kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

"Sebagai tarikan kami turut menyajikan beberapa acara lain pada setiap hari yang membolehkan pengunjung pelbagai peringkat umur yang berada di taman ini dapat berinteraksi dengan haiwan peliharaan.

"Antaranya pengunjung boleh memberi makan ikan koi atau nama saintifiknya `Cyprinus carpio' yang dipelihara dalam kolam menggunakan botol susu bayi, juga satu pengalaman baharu jika berkunjung ke sini," katanya.

Beliau berkata, THLL mendapat empat pengiktirafan portal pelancongan terbesar Tripadvisor.com selama empat tahun berturut-turut sejak 2013 iaitu Anugerah Kecemerlangan 2013, 2015 dan terbaharu tahun lalu, selain Tempat Tarikan Pilihan Pelancong pada 2014 dan 2015.

Taman dengan keluasan keseluruhan kira-kira lima hektar dan dikendalikan 40 kakitangan itu dibuka setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Berita Harian X