Jumaat, 3 Februari 2017 | 1:51pm

Pasukan SAR temui jaket keselamatan

LEFTENAN Komandar Maritim, Mohd Fauzi Ab Rahaman mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot pelancong karam, di perairan Pulau Mengalum ketika ditemui di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin
LEFTENAN Komandar Maritim, Mohd Fauzi Ab Rahaman mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot pelancong karam, di perairan Pulau Mengalum ketika ditemui di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Dua jaket keselamatan adalah antara objek ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) baki enam mangsa bot karam di perairan Pulau Mengalum, sepanjang seminggu pencarian di perairan Sabah dan Labuan.

Objek itu ditemui di kawasan pencarian sektor A di perairan Semarang, Labuan, iaitu berhampiran lokasi di mana 23 mangsa bot karam warga China termasuk tiga mayat ditemui pada hari kedua pencarian pada Ahad lalu.

Komander Kapal Maritim (KM) Berani, Leftenan Komander Maritim Mohd Fauzi Ab Rahman, berkata jaket keselamatan pertama ditemui tengah hari kelmarin, manakala satu lagi pagi semalam.

"Jaket pertama sudah lusuh manakala yang satu lagi kelihatan masih baharu tetapi tiada tertulis nama syarikat atau apa-apa tanda menunjukkan ia berasal dari bot yang karam di Pulau Mengalum sebelum ini.

"Bagaimanapun, jaket itu sudah diserahkan kepada pasukan penyiasat untuk siasatan lanjut," katanya ditemui pemberita di Pusat Gerakan Operasi SAR Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini, hari ini.

Beliau bersama pasukannya kembali ke pangkalan APMM di sini, malam tadi.

Selain dua jaket keselamatan terbabit, Mohd Fauzi berkata, pihaknya menemui sebuah pelampung dan tong dram terapung di kawasan pencarian sektor A.

Mohd Fauzi yang menjadi komander sejak tujuh bulan lalu berkata, lokasi pencarian di sektor A terletak di kawasan laut terbuka dengan kedalaman lebih 2,000 meter, kira-kira 80 batu nautika dari sini dengan masa perjalanan antara tujuh hingga lapan jam.

"Keadaan laut sepanjang seminggu operasi adalah baik kerana tidak terlalu bergelora. Hanya sebelah petang lebih berombak tetapi ia biasa di perairan Sabah dan Labuan.

"Dalam keadaan laut bergelora, kami menggunakan teknik pencarian khas selain berpandukan penglihatan mata kasar namun bagi saya operasi SAR kali ini lancar tanpa gangguan cuaca atau laut bergelora yang serius," katanya.

Katanya, operasi pencarian dilakukan 24 jam termasuk pada waktu malam dengan pemantauan dibantu penggunaan lampu limpah.

Selain KM Berani yang diketuainya, katanya, aset lain yang turut melaksanakan pencarian di kawasan Semarang dalam sektor masing-masing ialah KM Adil, KM Mabul dan Kapal Diraja (KD) Selangor, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Berita Harian X