Ahad, 5 Februari 2017 | 12:31pm

Suasana kempen Tanjong Datu belum ketara

PETUGAS jentera parti Barisan Nasional (BN) memasang bendera parti di Bilik Gerakan BN sempena Pilihan Raya Kecil N03, Tanjong Datu. - Foto Luqman Hakim Zubir
PETUGAS jentera parti Barisan Nasional (BN) memasang bendera parti di Bilik Gerakan BN sempena Pilihan Raya Kecil N03, Tanjong Datu. - Foto Luqman Hakim Zubir

LUNDU: Suasana pilihan raya sebenar masih belum dirasai sepenuhnya di Tanjong Datu meskipun 'wisel' berkempen sudah dibunyikan sejak kelmarin.

Tinjauan sekitar dua pekan utama dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di penghujung kepulauan Borneo itu, Lundu dan Sematan mendapati kempen semua parti bertanding masih perlahan dengan Barisan Nasional (BN) hanya mempamerkan sedikit bahan kempen.

Jentera BN memulakan gerakan mereka dengan memasang poster dan kain pemidang semalam, namun berbeza dengan calon pembangkang yang masih belum menonjolkan apa-apa.

Selain itu, jentera Wanita BN juga sudah memulakan kempen mendekati pengundi dengan berjalan dari rumah ke rumah. 

PETUGAS jentera parti Barisan Nasional (BN) mengemaskini poster calon BN N03 Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah Anu untuk diedarkan ke setiap kawasan Lundu sempena Pilihan Raya Kecil Dun Tanjong Datu. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong, Fatimah Abdullah berkata, mereka sudah memulakan kempen rumah ke rumah itu di beberapa kampung.

"Kami sudah merancang lebih banyak aktiviti untuk memperhebatkan kempen bagi membantu calon BN, Puan Sri Jamilah Anu.

"Walaupun beliau (Jamilah) sudah cukup dikenali, tidak bermakna jentera kempen kami melakukan kerja ringan sepanjang tempoh berkempen ini," katanya.

PERANG poster belum kelihatan di Pekan Lundu walaupun Penamaan calon sudah diumumkan yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu. - Foto Mohd Radzi Bujang

Sementara itu, calon Parti Reformasi Negeri (STAR) Johnny Aput berkata, pihaknya masih merancang bentuk kempen yang sesuai untuk memastikan pendekatan berkesan dalam meraih sokongan.

"Kami mahu memastikan pendekatan yang diambil betul-betul mampu memenangi hati pengundi Tanjong Datu," katanya.

Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDSB) pula, seolah-olah belum bersedia untuk melancarkan kempen apabila calonnya Rapelson Richard Hamit tidak pasti bila mereka akan memulakan kempen secara terbuka.

Berita Harian X