Rabu, 15 Februari 2017 | 7:07pm

RISDA rugi RM5 juta sebulan

PENGERUSI RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin (dua dari kanan) dan Pengerusi RISDA Selangor Mohd Rosli Hassan (kanan) beramah mesra bersama penerima Sijil Penghargaan dari kiri Muniran Mohd Sulor, Mahamat Sot Marjunit dan Buang Maruji selepas merasmikan Konvensyen GAP Negeri Selangor 2017 di Hotel Grand Blue Wave. - Foto Rosdan Wahid
PENGERUSI RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin (dua dari kanan) dan Pengerusi RISDA Selangor Mohd Rosli Hassan (kanan) beramah mesra bersama penerima Sijil Penghargaan dari kiri Muniran Mohd Sulor, Mahamat Sot Marjunit dan Buang Maruji selepas merasmikan Konvensyen GAP Negeri Selangor 2017 di Hotel Grand Blue Wave. - Foto Rosdan Wahid

SHAH ALAM: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) menanggung kerugian sebanyak RM5 juta sebulan, disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk mengutip buah sawit.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata RISDA memerlukan kira-kira 4,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan, namun bilangan pekerja yang ada ketika ini jauh daripada mencukupi.

"Keluasan ladang sawit RISDA ialah 400,000 hektar dan sudah pasti ia perlukan ramai tenaga kerja. Bayangkan kita tunggu selama tiga tahun untuk buah sawit masak, tetapi apabila sampai masanya, buah sawit tidak boleh dikutip.

"Jika dua hari lewat kutip, buah akan rosak serta hilang kualitinya.

"Rakyat tempatan kurang berminat untuk kerja dalam sektor perladangan. Atas sebab itu, kita minta kerajaan kaji balik kekangan untuk membawa masuk pekerja asing dalam sektor perladangan.

"Bukan RISDA sahaja berdepan isu ini, tetapi juga syarikat swasta. Jika isu ini gagal diatasi, sektor perladangan negara akan menanggung kerugian besar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amalan Pertanian Baik Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata, RISDA melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dan keusahawanan kepada lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.

"Malah, RISDA juga bercadang memperkenalkan tanaman herba baharu guarana dari Brazil dalam tempoh terdekat. Saya sendiri sudah pergi melihat tanaman ini dan ia berpotensi untuk dimajukan.

"Benih setiap pokok guarana berharga RM200. Kita akan beli benih ini dan akan ditanam di tapak semaian RISDA, sebelum diperkenalkan kepada pekebun kecil. Harga pasaran guarana ialah RM500 sekilo. Jadi, ia adalah sumber pendapatan tambahan untuk pekebun kecil," katanya.

Berita Harian X