X
Jumaat, 3 March 2017 | 3:38pm

3,000 unit Rumah Bina Negara disasarkan tahun ini

KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meletak sasaran membina 3,000 unit Rumah Bina Negara (RBN) di seluruh negara, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembinaan rumah itu dipertanggungjawabkan kepada RISDA dengan permohonan awal dan layak akan diberi kelulusan.

"Pembinaan RBN memberi peluang kepada belia di luar bandar yang tidak mempunyai rumah terutama mereka yang sudah berkahwin untuk memiliki rumah sendiri.

"Bagaimanapun, pembinaan rumah itu perlu dibuat di tanah milik sendiri atau keluarga.

"Mereka yang layak hanya perlu membeli rumah ini pada harga RM45,000 dan ia sama di seluruh negara.

"Pembinaan RBN oleh RISDA berbeza dengan konsep RBN dibina FELCRA yang dibuat secara berkelompok," katanya selepas merasmikan Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2016 di sini, hari ini.

Sempena majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan anugerah kepada 234 kakitangan RISDA, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016.

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Ismail Sabri berkata, RISDA dan FELCRA masing-masing menerima peruntukan RM100 juta bagi membina RBN di seluruh negara untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah seperti diumumkan dalam Bajet 2017.

Mengenai pembinaan RBN di Sabah, beliau berkata, sebanyak 419 permohonan diterima di negeri ini.

"Belum ada pembinaan rumah jenis itu di Sabah kerana kita masih di peringkat menerima permohonan. Bagaimanapun, kita akan memastikan harga rumah itu di Sabah sama dengan di Semenanjung dan Sarawak.

"Antara kriteria pemohon adalah mereka yang tiada rumah sendiri dengan syarat kena tinggal di rumah itu dan bukan dibina hanya untuk disewa," katanya.

Berita Harian X