Khamis, 16 March 2017 | 4:38pm

PENYAIR bantah cadangan Annuar berhubung UEC

DATUK Dr Mohd Radzuan Ibrahim (kanan) yang mewakili PENYAIR membantah cadangan Tan Sri Annuar Musa yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). - Foto Eizairi Shamsudin/Zaman Huri Isa
DATUK Dr Mohd Radzuan Ibrahim (kanan) yang mewakili PENYAIR membantah cadangan Tan Sri Annuar Musa yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). - Foto Eizairi Shamsudin/Zaman Huri Isa

KUALA LUMPUR: Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) membantah cadangan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Timbalan Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim, berkata persatuan itu berpendapat tindakan mengiktiraf UEC adalah bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara, sekali gus menghancurkan maruah serta martabat bahasa Melayu di negara ini.

Katanya, ahli-ahli politik yang membuat dan menyokong cadangan berkenaan jelas terlepas pandang mengenai nasib bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara serta mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai alat membentuk identiti bangsa bagi sebuah negara bangsa.

"PENYAIR menyeru ahli-ahli politik supaya tidak mencari publisiti murahan dengan menggunakan isu ini bagi tujuan mendapat sokongan pihak tertentu.

"Tindakan ini adalah suatu pengkhianatan yang nyata terhadap agenda pembentukan negara bangsa serta aspirasi nasional," katanya dalam kenyataan hari ini.

UEC adalah sijil yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai pengganti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memasuki universiti awam dan dan sektor perkhidmatan awam.

Annuar, ketika ditemui pemberita di Parlimen semalam, mahu kerajaan mengiktiraf UEC kerana ia adalah sah di sisi undang-undang.

Beliau berkata, Perlembagaan Malaysia menjamin hak semua rakyat, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan dan sekolah persendirian.

Berita Harian X