Khamis, 23 March 2017 | 12:01am

FMBH'17 tampil konsep Pasar Lokal

KUALA LUMPUR: Penganjuran Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17), yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 2 hingga 4 Jun depan, menjadi platform terbaik usahawan memasarkan produk mereka.

Justeru, BH mengalu-alukan usahawan tempatan dan luar negara khususnya menyertai jualan karnival beli-belah berkonsepkan Pasar Lokal.

Pengerusi FMBH'17, Jami'ah Sokri, berkata penganjuran fiesta kali ke tiga yang diadakan pada minggu pertama Ramadan menyediakan 130 gerai jualan.

Katanya, bazar berkenaan menawarkan empat pakej menarik, iaitu platinum, diamond, gold dan silver, bermula pada harga RM3,500 hingga ke RM10,000 untuk setiap gerai.

Mereka yang berminat sewajarnya segera membuat tempahan kerana tempat terhad sebelum tarikh tutup, pada 30 April depan.

"Setakat ini, kami mendapat maklum balas positif daripada vendor dan orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan penganjuran FMBH'17.

"Tapak jualan ini berada pada lokasi strategik yang di kelilingi pusat beli-belah lain dan menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah.

"Pastinya karnival ini menjanjikan tempat yang sesuai untuk membeli kelengkapan raya khususnya fesyen Muslimah seperti baju kurung, jubah, tudung dan aksesori, manakala songkok, baju melayu, samping untuk lelaki, fesyen kanak-kanak, selain kuih-muih," katanya di sini, semalam.

CEPAT, tempat terhad! Daftar segera FMBH'17.
CEPAT, tempat terhad! Daftar segera FMBH'17.

Konsep urban dan santai

Jami'ah berkata, dengan konsep dan suasana aktiviti santai dan urban, kami juga menawarkan rawatan spa eksklusif seperti penjagaan kuku kaki dan tangan, urutan badan, bahu dan sebagainya pada harga berpatutan.

"Pastinya ia memberi banyak kelebihan kepada usahawan dan orang ramai yang berkunjung.

"Pengunjung juga tidak perlu risau kerana kami menyediakan ruang untuk kanak-kanak bermain sementara menunggu ibu bapa membeli-belah," katanya.

Yang pasti, karnival kali ini lebih meriah seiring dengan sambutan 60 tahun BH yang turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik berbanding penganjuran sebelumnya di bawah satu bumbung.

FMBH kali pertama diadakan, di Zebra Square Kuala Lumpur, pada 23 November 2014 berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, manakala kali kedua, di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur (24 dan 25 Oktober 2015), pula dikunjungi lebih 25,000 orang.

Mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bazar jualan boleh menghubungi penganjur seperti yang tertera.

FMBH edisi kali kedua di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober 2015. - Foto fail NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
FMBH edisi kali kedua di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober 2015. - Foto fail NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Berita Harian X