X
Sabtu, 25 March 2017 | 4:09pm

Kerjasama KKLW-MDEC jayakan e-usahawan luar bandar

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersalaman dengan bakal jemaah haji selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Haji Parlimen Bera. - Foto BERNAMA
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) bersalaman dengan bakal jemaah haji selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Haji Parlimen Bera. - Foto BERNAMA

BERA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merancang bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memperkasakan program e-usahawan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana program ekonomi digital itu adalah antara fokus KKLW bagi menggalakkan pembabitan masyarakat luar bandar dan pelajar Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang perniagaan dalam talian.

"Program e-usahawan dijalankan MDEC mempunyai potensi besar menggalakkan usahawan luar bandar dan kita tidak mahu mereka (masyarakat luar bandar) ketinggalan dalam program sebegini.

"Malah dari segi kepakaran, MDEC sudah ada pengalaman serta modul sendiri manakala KKLW ada perancangan namun masih merangkanya, ia boleh dijayakan di luar bandar menerusi kerjasama dua pihak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bootcamp e-usahawan dan e-rezeki Parlimen Bera di sini, hari ini.

Katanya, pada tahun lalu MDEC menjelajah ke 348 kawasan dan berjaya melatih 51,000 pelajar melalui kursus dijalankan dalam program berkenaan.

"Pada tahun ini ia mensasarkan melatih 80,000 pelajar dan turun ke 450 pusat di seluruh negara bagi membantu masyarakat luar bandar, ia selari dengan hasrat KKLW mewujudkan Desa Digital," katanya.

Berita Harian X