Khamis, 6 April 2017 | 2:12pm

DBP sokong kerajaan tolak UEC

KETUA Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Abdul Adzis Abas. - Foto Rohanis Abdul Shukri
KETUA Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Abdul Adzis Abas. - Foto Rohanis Abdul Shukri

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong pendirian kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan yang tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diguna pakai dalam sistem pendidikan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Pendirian DBP ini berdasarkan kepada percanggahan UEC dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Bahasa Kebangsaan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Adzis Abas, berkata, kedua-dua peruntukan itu jelas menyebut bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, dan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi, termasuk dalam bidang pendidikan.

"UEC juga tidak mematuhi kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

"Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui satu sistem Pendidikan Kebangsaan menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama," katanya dalam kenyataan kepada BH.

Sebelum ini, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) meminta kerajaan untuk mengiktiraf UEC yang diambil oleh semua pelajar di SMPC bagi membolehkan mereka memasuki universiti awam di Malaysia.

Isu itu kemudiannya menarik perhatian apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) membenarkan pelajar lulusan UEC belajar di universiti miliknya, UniKL.

Abdul Adzis berkata, UEC yang dikendalikan oleh badan persendirian sejak tahun 1975 menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum dan peperiksaan yang tidak menepati standard dan aspirasi negara, iaitu membina negara bangsa.

Malah, subjek bahasa Melayu dan Sejarah dalam UEC tidak setara dengan sukatan pelajaran Kurikulum Kebangsaan dan cakupan sejarah Malaysia dalam mata pelajaran sejarah juga tidak mencukupi bagi menggambarkan sejarah negara.

"Keadaan ini tidak menepati hasrat kerajaan yang menekankan kepentingan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai wadah bagi memupuk perpaduan negara dan membentuk jati diri kebangsaan setiap warga negara Malaysia," katanya.

Abdul Adzis, sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada sudah terbukti berjaya melahirkan golongan cerdik pandai yang diiktiraf di dalam negara dan pada peringkat antarabangsa.

"DBP menggesa kerajaan supaya tidak mengiktiraf UEC demi kedaulatan dan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kemampanan sistem pendidikan kebangsaan," katanya.

Berita Harian X