X
Jumaat, 14 April 2017 | 4:31pm

KKLW sasar anak syarikat kurangkan kos operasi

ISMAIL Sabri (dua dari kiri) bersama wakil agensi dan anak syarikat di bawah KKLW selepas majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur, hari ini. Turut bersama Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dollah (kiri). - Foto Rosela Ismail
ISMAIL Sabri (dua dari kiri) bersama wakil agensi dan anak syarikat di bawah KKLW selepas majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur, hari ini. Turut bersama Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dollah (kiri). - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasarkan pengurangan sebanyak 10 hingga 15 peratus kos operasi kilang milik agensi di bawah kementerian.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata melalui memorandum kerjasama yang ditandatangani itu, 12 kilang milik anak syarikat dari kluster perkilangan, perkhidmatan, serta pelancongan mampu memacu peningkatan pendapatan syarikat sehingga 15 peratus.

"Melalui usaha ini, anak syarikat akan dapat bekerjasama dari segi bajet untuk menghasilkan pasaran yang lebih luas, selain dapat menjalankan promosi dengan lebih berkesan.

"Selain itu, ia mengurangkan kebergantungan kepada agensi dan setiap anak syarikat akan mengambil pendekatan terbaik dalam mentadbir urus serta mengawal kos operasi kilang dalam menjalankan perniagaan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) anak syarikat kementerian itu di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata kerjasama itu adalah inisiatif KKLW bagi fasa pertama manakala fasa berikutnya membabitkan kluster perladangan, pendidikan, hartanah, pelaburan dan peruncitan yang kini masih dalam peringkat perundingan.

"Kerjasama ini adalah selaras inisiatif kerjasama strategik anak syarikat KKLW menerusi Strategi Lautan Biru (NBOS) supaya mereka meneroka pelbagai peluang perniagaan merentasi agensi," katanya.

Menurutnya, melalui MoU itu juga anak syarikat terbabit berupaya meningkatkan daya saing, berkembang maju serta bergerak dalam ekonomi berskala lebih besar.

INFO
12 anak syarikat terbabit

  • MARA Liner Sdn Bhd
  • RISDA Fleet Sdn Bhd
  • Kilang Sawit Panji Alam Sdn Bhd
  • FELCRA Berhad
  • FELCRA Processing and Engineering Sdn Bhd
  • KESEDAR Perkilangan Sdn Bhd
  • ESPEK Sdn Bhd
  • Glocal Link Travel & Tours Sdn Bhd
  • Nikaniaga Travel & Tours Sdn Bhd
  • KESEDAR Inn Sdn Bhd
  • KEJORA Hospitality & Services Sdn Bhd
  • KEDA Resort & Holidays Sdn Bhd
Berita Harian X