Ahad, 16 April 2017 | 3:00pm

PEMADAM rangka strategi baharu

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed (dua dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan, Datuk Ayub Rahmat (dua dari kanan) merasmikan Program Ekspresi Negaraku: Sejahtera Tanpa Dadah di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) akan melaksanakan beberapa strategi penting serta menetapkan hala tuju baharu dalam usaha membanteras gejala dadah di negara ini.

Yang Dipertua PEMADAM, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata bagi merealisasikan matlamat itu, satu sesi percambahan minda akan diadakan persatuan itu di ibu negara, minggu depan.

Katanya, sesi selama dua hari itu bermula 21 April ini, akan diadakan di Maktab Polis di Cheras dengan membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Kita menjemput pelbagai pihak dalam sesi dua hari ini, antaranya AADK, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik supaya dapat bersama-sama bincang mengenai hala tuju serta usaha PEMADAM untuk banteras gejala dadah.

"Hasil laporan dan rumusan sesi ini kemudian akan kita bentangkan pada Majlis Mesyuarat PEMADAM dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Ekspresi Negaraku Sejahtera Tanpa Dadah di sini, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai dilantik sebagai Yang Dipertua PEMADAM pada Februari lalu.

Katanya, ketika ini keahlian PEMADAM di seluruh negara mencecah lebih 500,000 orang sejak ditubuhkan lebih 40 tahun lalu.

"Kita juga mahu memastikan ahli PEMADAM benar-benar aktif, selain mahu menggerakkan lebih banyak program di peringkat negeri serta daerah," katanya.

Berita Harian X