X
Ahad, 16 April 2017 | 3:27pm

Sedia kaji kaedah perkasa BM di sekolah vernakular

DATUK Seri Mahdzir Khalid. - Foto Zulfadhli Zulkifli
DATUK Seri Mahdzir Khalid. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan sedia mengkaji kaedah untuk memperkasa penguasaan bahasa Melayu khususnya di sekolah aliran vernakular sebagai medium utama perpaduan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius tahap penguasaan bahasa Melayu di sekolah aliran berkenaan, dan sedia memperkasa program dan silibusnya ke arah pemantapan integrasi dalam kalangan sekolah pelbagai aliran di seluruh negara.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa semua rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan cemerlang yang turut meliputi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil.

"Kita ambil serius perkara ini di mana kita ada IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) yang mana guru ambil pengkhususan bahasa termasuk yang mengajar di SK (Sekolah Kebangsaan), SRJK Cina dan Tamil... selain itu ada juga program membabitkan kursus semula bagi memastikan penguasaan bahasa.

"Kita akui penguasaan bahasa Melayu sahaja tak mencukupi (untuk pupuk perpaduan) bagaimanapun untuk lihat satu komponen (perpaduan) itu berhasil, ia memerlukan penguasaan bahasa... kalau bahasa sendiri dah tak boleh nak kuasai, macam mana nak capai benda lain.

"Langkah pertama kita dalam memartabatkan negara bangsa dan perpaduan ialah dengan pastikan 30 juta rakyat Malaysia membabitkan semua kaum boleh kuasai bahasa Melayu... lepas itu baharu kita fikir soal program ke arah perpaduan," katanya ketika ditemui Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Tekai di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri mengenai komitmen kerajaan untuk memastikan semua pelajar sekolah aliran Cina dan Tamil mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik sebagai medium perpaduan.

Mengenai semangat negara bangsa, Mahdzir berkata usaha memperkasa aspek itu tidak boleh diletakkan pada bahu satu bangsa sahaja, sebaliknya perlu dipikul bersama semua rakyat tanpa mengira kaum.

Berita Harian X