Sabtu, 22 April 2017 | 1:41pm
Idris menikmati susu kambing dari ladang ternakan UniSZA di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut. Foto Mohammad Ishak
Idris menikmati susu kambing dari ladang ternakan UniSZA di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut. Foto Mohammad Ishak

UniSZA perintis pusat latihan kambing tenusu

Idris melihat model kandang kambing moden yang diperkenalkan UniSZA. Foto Mohammad Ishak
Idris melihat model kandang kambing moden yang diperkenalkan UniSZA. Foto Mohammad Ishak

JERTIH: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuka era baharu dalam industri ternakan negara apabila melancarkan DairyFarm bagi melahirkan siswazah ternakan menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran Program 2u2i.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penubuhan pusat latihan ternakan kambing tenusu yang dikendalikan UniSZA adalah yang pertama dilakukan oleh universiti tempatan.

Katanya, projek itu bukan sahaja melatih pelajar malah turut diperluaskan kepada penduduk tempatan yang berminat dalam industri ternakan kambing tenusu.

"DairyFarm yang beroperasi di Ladang UniSZA Pasir Akar, Hulu Besut, apabila beroperasi sepenuhnya nanti akan menjadi pengeluar susu kambing utama di negara ini untuk keperluan pasaran tempatan.

Idris meninjau pusat ternakan dan latihan kambing tenusu UniZSA. Foto Mohammad Ishak
Idris meninjau pusat ternakan dan latihan kambing tenusu UniZSA. Foto Mohammad Ishak

"Ketika ini, 50 pelajar menyertai projek itu melalui Program 2u2i yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di mana pelajar dikehendaki mengikuti pengajian selama dua tahun di universiti dan dua tahun di industri.

"Projek ini juga akan membantu meningkatkan kerjasama antara komuniti usahawan dengan universiti tempatan," katanya ketika melancarkan DairyFarm UniSZA di Kampung Pasir Akar, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad dan Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

Idris berkata, pusat berkenaan akan menjadi institusi latihan, penyelidikan dan pemindahan teknologi dalam penjenamaan hasil susu kambing di negara ini.

Katanya, apa yang membezakan konsep penternakan kambing tenusu di pusat latihan itu ialah UniSZA membina kandang kambing moden yang akan menjadi pusat rujukan untuk sistem perladangan pintar atau 'Smart System Farming' (SSF).

Berita Harian X