Selasa, 25 April 2017 | 12:47pm

PINTA dapatkan khidmat peguam untuk madrasah

 PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian wakil negeri yang menerima insentif pada majlis Penyampaian Insentif Kepada Sekolah Pondok Berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Institusi Tahfiz Seluruh Malaysia di Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian wakil negeri yang menerima insentif pada majlis Penyampaian Insentif Kepada Sekolah Pondok Berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Institusi Tahfiz Seluruh Malaysia di Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) akan mendapatkan khidmat guaman bagi sebuah madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor, berhubung kes pembantu warden memukul kaki pelajar menggunakan getah paip, baru-baru ini.

Presiden PINTA, Mohd Zahid Mahmood Al-Hafiz, berkata pihaknya sudah ke madrasah berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden itu dan berharap masyarakat memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang ditonton pihaknya, pelajar berkenaan hanya dipukul di sebelah tapak kaki saja dan berkemungkinan besar terdapat isu lain yang menyebabkan kecederaan kepada kaki pelajar itu.

"Tidak perlulah untuk menuding jari. Apa yang kita lihat, masyarakat menuding jari terus kepada sekolah dan ustaz sedangkan ia berlaku selepas dua minggu.

"Jangan kerana seekor nyamuk, kelambu dibakar. Jangan kerana kes itu, semua sekolah tahfiz dilabelkan sebagai mendera sedangkan belum ada jawapan lagi daripada pihak berwajib," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Peruntukan Kepada Sekolah Pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Institusi Tahfiz Berdaftar di Seri Perdana di sini, hari ini.

Ahad lalu, seorang pembantu madrasah di Kota Tinggi direman empat hari bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan pelajar berusia 11 tahun. Dia ditahan di rumahnya di FELDA Lok Heng Barat, sehari sebelum itu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Mangsa yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail mendakwa dipukul dengan paip getah sehingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua kakinya. Jangkitan kuman dipercayai akibat kecederaan itu menyebabkan keadaan mangsa semakin teruk sehingga kedua-dua kakinya terpaksa dipotong, Jumaat lalu.

Berita Harian X