X
Jumaat, 28 April 2017 | 12:20pm

Pejabat NIOSH Tawau dilancar hari ini

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem menandatangani plak sempena pembukaan Pejabat NIOSH Wilayah Sabah Cawangan Tawau yang terletak di Jalan Plaza Damai, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem menandatangani plak sempena pembukaan Pejabat NIOSH Wilayah Sabah Cawangan Tawau yang terletak di Jalan Plaza Damai, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) kini mempunyai 14 pejabat dan cawangan di seluruh negara dengan terbaharu di daerah ini yang dilancarkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem, hari ini.

Pejabat NIOSH Wilayah Sabah Cawangan Tawau yang terletak di Jalan Plaza Damai di sini, adalah cawangan ketiga di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata NIOSH menawarkan pelbagai kursus seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Penyelia Tapak Bina (SSS) dan Pemanduan Berhemah untuk dimanfaatkan majikan dan pekerja di daerah ini.

"Diharap pembukaan cawangan Tawau ini meningkatkan kesedaran berkaitan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang memberi impak kepada pembangunan dan peningkatan produktiviti industri," katanya pada perasmian pejabat NIOSH Wilayah Sabah Cawangan Tawau.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan serta Pengarah Eksekutif NIOSH, Zahrim Osman.

Sementara itu, Richard Riot, berkata pembukaan pejabat baharu NIOSH itu memberi manfaat kepada industri swasta dan sektor kerajaan, selain menampung keperluan dan permintaan perkhidmatan NIOSH di daerah ini.

Katanya, ia juga membolehkan majikan dan pekerja berurusan terus dengan NIOSH berkaitan latihan KKP, khidmat rundingan dan penyebaran maklumat tanpa lagi perlu ke Kota Kinabalu, Sandakan atau Labuan.

"Penubuhan pejabat NIOSH di Tawau diharap memacu peningkatan kesedaran KKP di Sabah, seiring perkembangan bandar utama di negara ini.

"Ini sejajar dengan kemasukan pelbagai aktiviti ekonomi yang dijangka bertambah pesat melalui projek Lebuhraya Pan Borneo selain projek besar di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC)," katanya.

Berita Harian X