X
Rabu, 3 Mei 2017 | 3:39pm

Terap konsep wasatiyyah dalam berpolitik

PROF Dr Ismail Sualman (tengah) bersama Prof Datuk Dr Sidek Baba (kiri) dan Prof Madya Dr Shukri Ahmad pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017- Fiqh Wala' dan Taat: Peranannya dalam Mensejahterakan Negara, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PROF Dr Ismail Sualman (tengah) bersama Prof Datuk Dr Sidek Baba (kiri) dan Prof Madya Dr Shukri Ahmad pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017- Fiqh Wala' dan Taat: Peranannya dalam Mensejahterakan Negara, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Konsep wasatiyyah yang diterapkan di negara ini mewujudkan persekitaran dan acuan politik yang matang, sekali gus mensejahterakan rakyat dan negara.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Ismail Sualman, berkata bagaimanapun kebanyakan ahli politik kini dilihat tidak menerapkan konsep wasatiyyah dalam perjuangan politik mereka dengan membuat keputusan tanpa menghiraukan soal agama, sebaliknya hanya mengutamakan agenda sendiri.

"Jika berterusan begini, dibimbangi ia akan menyebabkan negara tidak dapat mencapai matlamat untuk kekal menjadi sebuah negara sejahtera.

"Dalam mewujudkan politik sejahtera atau negara yang sejahtera, semua ahli dalam mana-mana parti politik perlu mengutamakan bangsa, agama dan negara terlebih dulu sebelum mereka 'berperang' dengan agenda politik masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Cabaran dan Peranan Media Sosial untuk Kestabilan dan Keharmonian Politik Sejahtera pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017- Fiqh Wala' dan Taat: Peranannya dalam Mensejahterakan Negara, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan perlu mewujudkan satu 'produk' yang boleh menggambarkan maksud wasatiyyah, bukan hanya mengadakan seminar atau ceramah mengenainya saja.

"Contohnya konsep 1Malaysia, ia dapat dilihat dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kepada semua warganegara yang layak tanpa mengira bangsa, agama mahupun warna kulit.

"Melalui produk itu, masyarakat dapat melihat gambaran sebenar konsep yang ingin diketengahkan, sekali gus dapat memahami lebih lanjut apa yang ingin disampaikan kerajaan.

"Pendekatan wasatiyyah ini perlu dipasarkan bukan hanya melalui bentuk perbincangan, forum atau sebagainya. Ia perlu ada pemasaran sosial," katanya.

Berita Harian X