Sabtu, 6 Mei 2017 | 12:01pm

Tutup LTSAS: MB minta laporan penuh

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berucap merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berucap merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mahu Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menghantar laporan penuh berhubung kejadian penutupan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), kelmarin, yang dipercayai berpunca daripada hakisan tanah.

LTSAS ditutup selama hampir 24 jam sejak 6.40 petang kelmarin sehingga 5 petang semalam berikutan ada kesan hakisan tanah dan lubang benam di landasan ketika pemeriksaan rutin dibuat oleh pasukan teknikal.

Zambry berkata, beliau hanya mendapat maklumat berhubung kes itu melalui akhbar.

"Ini berkaitan keselamatan negeri. Apabila berlaku apa-apa, sepatutnya mereka memaklumkan kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri dan lapangan terbang itu adalah sebahagian daripada aspek keselamatan.

"Saya hanya mengetahui maklumat dan kejadian daripada akhbar, jadi saya mahu kajian terperinci. Sehingga kini, saya masih menunggu laporan berkenaan," katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bersama 60 ahli Dewan Belia selepas merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bersama 60 ahli Dewan Belia selepas merasmikan Sidang Dewan Belia Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - Foto NSTP/Muhaizan Yahya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Belia Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, sebentar tadi.

Beliau mengulas mengenai kejadian di LTSAS dan kes seumpamannya yang berlaku sebelum ini, yang membabitkan perbelanjaan besar untuk baik pulih.

Zambry berkata, beberapa tahun lalu ketika LTSAS dibaik pulih, dibesar dan dipanjangkan, kajian telah dibuat meliputi semua aspek dari segi keadaan tanah yang ada di kawasan berkenaan dan ketika itu, tiada masalah dinyatakan.

"Dulu juga dikatakan ada laporan berkaitan berlaku aliran air di bawah tanah. Kajian dibuat dan kelulusan telah diberi untuk penggunaan semula lapangan terbang yang sudah dipastikan selamat.

"Saya yakin pihak MAHB kini juga sedang melakukan langkah pemeriksaan teknikal di kawasan berkenaan.

"Saya difahamkan kapal terbang juga sudah mendarat walaupun mendarat jangkaan awal mengatakan ia akan ditutup selama seminggu," katanya.

Berita Harian X