Sabtu, 6 Mei 2017 | 2:50pm

Kerajaan pastikan penubuhan KSCIP ikut tempoh

ASYRAF Wajdi menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Bukit Gambang Resort City, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
ASYRAF Wajdi menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Bukit Gambang Resort City, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Kerajaan akan memastikan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) mengikut tempoh ditetapkan bagi memastikan usaha memerangi keganasan yang mencemarkan imej Islam dapat dilaksanakan secara berkesan.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mengikut tempoh ditetapkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, pusat berkenaan harus ditubuhkan pada Ramadan iaitu 90 hari selepas lawatannya ke Malaysia pada Februari lalu

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Penubuhan KSCIP, berkata pihaknya kini sedang menyediakan perkara-perkara diminta Kerajaan Arab Saudi termasuk premis sementara untuk membolehkannya beroperasi dengan segera.

"Kita tidak mahu melepasi tempoh 90 hari itu kerana isu-isu menyentuh soal radikalisasi, eksterisme dan isu menconteng arang kepada agama Islam itu sentiasa berterusan...ia perlu ditangani secara berkesan serta pantas untuk kita bertindak balas berdasarkan naratif idealogi berasaskan pemahaman Islam yang sebenar.

"Sebagai mana diperjuangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) mengikut prinsip wasatiyah yang diiktiraf Raja Salman sebagai satu pendekatan terbaik dalam membawa kefahaman masyarakat terhadap ketulenan agama Islam itu sendiri," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang dirasmikan Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom yang juga Penaung Diraja PPPM cawangan Pahang.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah yang juga Yang Dipertua PPPM cawangan Pahang.

Penubuhan KSCIP di Malaysia adalah hasil inisiatif Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang diumum dalam kenyataan rasmi kedua-dua negara sempena lawatan Raja Salman, Februari lalu.

Inisiatif KSCIP bertujuan menjadi platform mempromosi keamanan sejagat di peringkat global, di samping mempelopori pendekatan wasatiyyah dalam menangani keganasan, termasuk pelbagai ideologi songsang.

Institusi-institusi diberi tanggungjawab merealisasikan penubuhannya termasuk Kementerian Pertahanan Malaysia dan Arab Saudi, Liga Dunia Islam (Rabitah Al-Alam Al-Islami), Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS), Ideology Warfare Centre Arab Saudi (IWC) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berita Harian X