Isnin, 22 Mei 2017 | 1:29pm

65% pekerjaan sedia ada 'lenyap' pada 2027

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan beramah mesra bersama orang ramai ketika di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan beramah mesra bersama orang ramai ketika di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Kira-kira 65 peratus pekerjaan sedia ada di negara ini diramal tidak wujud lagi pada 2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata Revolusi Industri Keempat atau Era Digital bakal menyaksikan kemajuan dan penggunaan teknologi secara radikal.

Justeru, katanya, pengupayaan bakat dan potensi rakyat Malaysia khususnya tenaga kerja mahir perlu digiatkan.

"Kita nak bernafas pun susah kerana dunia bergerak terlalu laju seiring perubahan ekonomi digital.

"Kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dewan Perniagaan Melayu (DPMM).

"Kita akan mengundang pucuk pimpinan tinggi DPMM berjumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan selepas itu menemui saya bagi hal berkaitan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Kita ingin pastikan penggunaan teknologi mampu meningkatkan pengeluaran dan produktiviti terutama dalam kalangan golongan Bumiputera pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan DPMM ke-51 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden DPMM, Datuk Mohamad Alayuddin Che Hasan.

Berita Harian X