Rabu, 24 Mei 2017 | 7:00am

Sambal Goreng Saadiah pikat selera

KUALA LUMPUR: Keaslian resipi turun-temurun sambal goreng Allahyarham Seniwati Saadiah antara produk makanan yang dijual di Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17), Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 2 hingga 4 Jun depan.

Kelazatan dan keaslian sambal goreng Saadiah itu dimasak sendiri oleh selebriti popular itu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.

Ogy berkata, beliau menawarkan tiga menu, iaitu sambal goreng Saadiah, kurau masin berlada dan paru goreng Nek Mon dijangka mencuri tumpuan pengunjung FMBH17.

Katanya, ini adalah peluang terbaik kepada peminatnya yang mencari-cari produk itu untuk datang ke gerai jualannya nanti kerana ketika ini ia hanya dipasarkan secara dalam talian.

"Kekuatan sambal goreng ini ialah pada rasa masakan yang begitu asli sehingga disifatkan sebagai masakan air tangan 'ibu'.

"Istimewa resipi saya kerana ia resipi rahsia turun-temurun. Saya mendapat maklum balas daripada pelanggan apabila menyifatkan resipi ini mengenangkan kembali air tangan ibu kerana rasanya begitu asli sama seperti masakan dulu kala," katanya.

SELEBRITI popular, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SELEBRITI popular, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Tembusi pasaran dunia

Pelakon filem Azura ini, berkata, resipi goreng Saadiah itu hanya menggunakan daging batang pinang, bebas bahan pengawet dan dimasak dalam tempoh lama untuk memberi keenakan rasa.

"Saya masak sendiri kesemua resipi ini. Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat sepanjang Ramadan ini, saya ada kilang, di Klang, Selangor untuk menyediakannya. Tetapi semua penyediaan masih mengekalkan air tangan saya kerana akan memantau proses pembuatan daripada A hingga Z.

"Saya dalam perancangan memasarkan produk ini ke luar negara seperti China, London dan Asia Barat menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)," katanya

Berjumpa peminat

Penyertaan di FMBH nanti akan dijadikan platform bertemu peminat dan pelanggan setia produknya.

"Produk ini begitu laris. Selalunya, tidak sampai dua hari, stok sudah habis. Jadi ini masanya untuk peminat datang beramai-ramai ke FMBH untuk dapatkan produk jualan saya dengan tawaran harga istimewa," katanya.

Kongsi Ogy, dalam seminggu, beliau berjaya menghasilkan 200 hingga 300 bungkus bagi setiap produk jualan makanan dan sambutan diterima daripada peminat begitu menggalakkan sehingga platform jualan beliau, Instagram yang menjual kesemua produk beliau mendapat perhatian lebih 358,000 pengikut.

"Hanya bermodalkan RM800 dan dari kuali kecil sehingga menggunakan kawah, ia begitu mendapat perhatian ramai," katanya.

Info
FMBH 2017

  • 8 artis solo dan sebuah artis berkumpulan di FMBH'17.
  • Artis solo adalah Mawi, Siti Nordiana, Syamel, Wany Hasrita, Amira Othman, Irfan Haris, Fina Mentor dan Tajul.
  • FMBH'17 dihangatkan dengan kehadiran Caliph Buskers.
  • Liza Kool FM bakal mengendalikan fiesta.
  • Mawi, Siti Nordiana, Zara Zya dan Zarina Zainudin akan membuka booth jualan.
Berita Harian X