Jumaat, 2 Jun 2017 | 7:00am

Fiesta Muslimah BH di SACC

SHAH ALAM: Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) berlangsung hari ini di Pusat Karnival Shah Alam (SACC), menghimpunkan lebih 100 vendor tempatan yang menyediakan pelbagai barangan keperluan sesuai untuk menyambut Syawal, tidak lama lagi.

Penganjuran FMBH'17 untuk tahun ketiga, berkonsepkan pasar lokal sehingga Ahad ini mengumpulkan pelbagai keperluan termasuk fesyen Muslimah, aksesori, produk kosmetik serta kecantikan di bawah satu bumbung menjanjikan harga berbaloi.

Pengerusi FMBH'17, Jami'ah Sokri, berkata kesinambungan karnival beli-belah berkenaan juga bersempena sambutan ulang tahun ke-60 BH bertujuan mendekatkan akhbar ini dengan pembaca.

Katanya, penganjuran itu bertujuan menyemarakkan industri fesyen Muslimah tempatan, selain dapat mengumpul pelbagai peniaga tempatan di bawah satu bumbung.

"Penganjuran ini tepat pada masanya terutama dalam kesibukan umat Islam menyambut Aidilfitri, katanya kepada BH, semalam.

"Selain jualan bazar, acara ini turut memuatkan pelbagai aktiviti menarik seperti tips bergaya dan berfesyen, persembahan nyanyian artis terkenal, cabutan bertuah serta jualan 'happy hour'.

"Sambil membeli-belah, pengunjung berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti yang turut membuka gerai jualan produk masing-masing," katanya.

Lokasi tumpuan ramai

Jami'ah berkata, lokasi FMBH'17 kali ini dianggap cukup strategik kerana berada di kawasan tumpuan beli-belah utama di Shah Alam.

Katanya, berkonsepkan santai dan urban, ia turut menyediakan aktiviti untuk sekeluarga dengan menyediakan ruangan untuk kanak-kanak bermain bagi memudahkan ibu bapa membeli belah.

Turut ditawarkan ialah rawatan spa eksklusif seperti penjagaan kuku kaki dan tangan, urutan badan, bahu dan kaki pada harga berpatutan.

FMBH kali pertama diadakan, di Zebra Square Kuala Lumpur, pada 23 November 2014 berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, manakala kali kedua, di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur (24 dan 25 Oktober 2015), pula dikunjungi lebih 25,000 orang.

Berita Harian X