Ahad, 11 Jun 2017 | 10:32pm

Pelajar berniaga online raih RM6,000 sebulan

KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi , Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur (dua kanan) ketika melawat gerai pada program Siswapreneur Showcase 2017 di pusat beli-belah Berjaya Times Square. - Foto Hafiz Sohaimi
KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi , Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur (dua kanan) ketika melawat gerai pada program Siswapreneur Showcase 2017 di pusat beli-belah Berjaya Times Square. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Pelajar universiti awam (UA) yang berniaga secara dalam talian atau online mampu meraih pendapatan sehingga RM6,000 sebulan tanpa menjejaskan pengajian.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, berkata ini membolehkan pelajar terbabit meneruskan perniagaan selepas menamatkan pengajian tanpa bergantung kepada pekerjaan disediakan pihak kerajaan atau swasta.

Sehubungan itu katanya, kementerian menganjurkan program `Siswapreneur Showcase' siri 2 bagi memberi keyakinan kepada pelajar UA mempraktikkan ilmu dan kemahiran keusahawanan, sekali gus menceburi bidang perniagaan selepas tamat pengajian.

Katanya, program itu membabitkan tujuh UA iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan politeknik serta kolej komuniti.

"Program ini adalah antara platform disediakan KPT kepada pelajar sebagai pendedahan sebenar dunia keusahawanan di pasaran komersial agar berdaya saing kerana sebelum ini tumpuan mereka lebih kepada komuniti dalam kampus dan secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian program `Siswapreneur Showcase' siri 2 di Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Program tiga hari mulai Jumaat lalu adalah siri kedua selepas program sama di Damansara, Petaling Jaya pada 29 April hingga 1 Mei lalu.

Berita Harian X