Sabtu, 17 Jun 2017 | 1:46pm

Misi belia hijrah semula ke luar bandar

KOTA KINABALU: Penghijrahan semula belia ke luar bandar antara aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memo-denkan kawasan luar bandar.

Meskipun tujuan utama usaha itu untuk merapatkan jurang perbezaan dari segi infrastruktur dan kemakmuran ekonomi antara bandar dan luar bandar, penghijrahan semula belia ke luar bandar dianggap kejayaan penting yang harus dicapai.

Ia antara rumusan awal hasil pengumpulan kira-kira 1,000 aspirasi daripada 1,000 belia luar bandar menerusi Bicara Komuniti [email protected] yang dilaksanakan di seluruh negara sejak Mac lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata situasi penghijrahan belia ketika ini yang menunjukkan 70 peratus berpindah ke bandar harus diubah agar komposisi golongan itu di bandar dan luar bandar lebih seimbang pada 2050.

Katanya, transformasi luar bandar bukan sahaja mahu melihat kawasan berkenaan menikmati pembangunan menyeluruh, malah menjadi tumpuan belia untuk membina kehidupan dan turut sama menyumbang kepada kemakmuran kawasan itu.

"Secara keseluruhan, aspirasi belia luar bandar mahu usaha memodenkan kawasan mereka diperkasakan, tetapi kalau boleh kita mahu lihat aspirasi lebih besar iaitu mahu belia yang ramai berhijrah ke bandar ketika ini kembali semula ke luar bandar.

ISMAIL Sabri (tengah) bersama peserta Majlis Bicara Komuniti TN50@KKLW di Kota Kinabalu, kelmarin. - Foto Edmund Samunting
ISMAIL Sabri (tengah) bersama peserta Majlis Bicara Komuniti [email protected] di Kota Kinabalu, kelmarin. - Foto Edmund Samunting

Tiada istilah belia bandar dan luar bandar

"Ketika itu tiada lagi istilah belia bandar dan luar bandar. Ini sasaran yang kita ingin lihat menerusi program membandarkan luar bandar dan TN50 yang kita mahu capai dalam tempoh 30 tahun dari sekarang," katanya kepada media selepas program Bicara Komuniti [email protected] peringkat negeri Sabah, di sini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Maleh; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad dan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dolah.

Kira-kira 310 belia luar bandar yang mewakili persatuan belia, pelajar dan suku kaum dari seluruh Sabah hadir pada program itu yang dikendalikan pelakon, Datuk Rosyam Nor sebagai moderator.

Hadir sama, ikon selebriti, Nonny AF, Elica Mentor Millinea dan Umi Nazeera, selain ikon politik muda Sabah iaitu Arthur Joseph Kurup dan Aksyah Nasrah.

Ismail Sabri berkata, semua 1,000 aspirasi termasuk 170 aspirasi belia luar bandar Sabah dikumpulkan setakat ini akan dibincangkan kementeriannya dan dibawa ke Konvensyen Dasar Luar Bandar Baharu yang dijadualkan pada Ogos depan.

Katanya, banyak lagi aktiviti menarik boleh dikembangkan untuk memajukan luar bandar seperti disuarakan belia menerusi aspirasi mereka termasuk menumpukan pelancongan desa dan industri hiliran berdasarkan kelebihan sesuatu kawasan.

"Dalam soal menyediakan peluang pekerjaan yang turut disuarakan pada program ini, kita harus mengubah pemikiran, bukan hanya mencari kerja tetapi sebaliknya kita bangunkan kemampuan diri dengan menjadi usahawan, pasti banyak yang boleh dilakukan," katanya.

Program Bicara Komuniti [email protected] di peringkat negeri Sabah adalah yang keempat selepas di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sarawak yang masing-masing diadakan pada 23 Mac, 27 Mac dan 25 Mei lalu.

Semua program itu disempurnakan Ismail Sabri, kecuali di Sarawak yang dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Program berkonsepkan bual bicara secara santai dan interaktif itu adalah untuk mendapatkan pandangan, harapan dan cadangan belia terhadap KKLW dan kerajaan amnya berkaitan ekonomi, prasarana, sosio budaya, alam sekitar dan aspek lain berkaitan.

Dalam konteks KKLW, ia adalah medium kepada masyarakat luar bandar untuk mengutarakan idea dan aspirasi mereka terhadap pembangunan di kampung menjelang 2050 dan memperkukuh jaringan hubungan dengan pemimpin sebagai asas perancangan program pembangunan KKLW.

Aspirasi belia Sabah

Di Sabah, kebanyakan aspirasi disuarakan belia adalah berkaitan harapan mereka untuk melihat semua kawasan luar bandar menikmati kemudahan asas lengkap, khususnya perhubungan jalan raya, air dan elektrik.

Harapan itu mengambil kira realiti luar bandar di Sabah ketika ini yang masih jauh ketinggalan, dengan ada antaranya masih berdepan masalah kesukaran perhubungan, termasuk liputan telekomunikasi dan internet yang menyebabkan masyarakatnya terpinggir.

Selain berkaitan luar bandar menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) turut mengadakan program sama dengan tumpuan kepada Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Putrajaya, pada 8 Jun lalu.

Info
Program Bicara Komuniti [email protected]

  • Bertujuan mendapatkan pandangan, harapan dan cadangan belia terhadap KKLW dan kerajaan berkaitan ekonomi, prasarana, sosio budaya, alam sekitar dan aspek lain berkaitan.
  • Dijadikan medium kepada masyarakat luar bandar mengutarakan idea dan aspirasi terhadap pembangunan di kampung menjelang 2050.
  • Program bermula di Kuala Lumpur pada 23 Mac, diikuti Terengganu (27 Mac), Sarawak (25 Mei) dan Sabah (15 Jun).
  • 1,000 jumlah peserta keseluruhan dengan 1,000 aspirasi dikumpulkan dalam 4 sesi program setakat ini.
  • Semua aspirasi dibincang peringkat kementerian dan dibawa ke Konvensyen Dasar Luar Bandar Baharu.
Berita Harian X