Isnin, 3 Julai 2017 | 11:14am

Kelonggaran syarat lulus BM cabul bahasa rasmi

 PRESIDEN Pertubuhan Warisan Melayu Johor, Datuk Abd Rahman Yunus (kiri) ketika sidang media membantah cadangan Kementerian Kesihatan melonggar syarat kelulusan Bahasa Malaysia untuk Pegawai Perubatan yang dilantik secara kontrak di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abdul Rahim
PRESIDEN Pertubuhan Warisan Melayu Johor, Datuk Abd Rahman Yunus (kiri) ketika sidang media membantah cadangan Kementerian Kesihatan melonggar syarat kelulusan Bahasa Malaysia untuk Pegawai Perubatan yang dilantik secara kontrak di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abdul Rahim

JOHOR BAHRU: Kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41, dianggap satu pencabulan dan penghinaan terhadap bahasa rasmi negara.

Presiden Pertubuhan Warisan Melayu Johor, Datuk A Rahman Yunus, berkata kedudukan BM, termasuk dalam perlembagaan negara dan semua pihak perlu menghormatinya.

"Ini mencabul kedaulatan bahasa kebangsaan yang tercatat dalam artikel 152 Perlembagaan Malaysia dan Akta Pendidikan 1961.

"Kita tidak mahu Bahasa Melayu ini dinodai, dicabul. Ini satu penghinaan kepada bahasa rasmi negara ini," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau mengulas langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan lulus BM peringkat SPM bagi lantikan kontrak ke jawatan pegawai perubatan Gred UD41.

Graduan perubatan yang dilantik secara kontrak sebagai pegawai perubatan UD41 perlu menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun.

A Rahman berkata, semua pihak terutama pemimpin dan pegawai kerajaan perlu memahami dan mempertahankan perlembagaan negara ini.

Beliau turut menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyatakan bantahan terhadap langkah JPA.

Berita Harian X