Isnin, 3 Julai 2017 | 3:03pm

Kelonggaran syarat lulus BM buka tuntutan lain

KUALA LUMPUR: Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bimbang kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 bakal membuka ruang pihak lain membuat tuntutan yang sama.

Presidennya, Eqwan Roslan, berkata pihaknya bimbang kelonggaran itu bakal membuka ruang tuntutan lebih besar seperti penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikendalikan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

"Kami melihat kelonggaran ini sebagai tindakan tidak wajar dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang mewajibkan kepujian BM bertujuan mengukuhkan keharmonian kaum dan perpaduan nasional menerusi penguasaan dalam bahasa kebangsaan.

"Dasar ini digubal bagi mengukuhkan perpaduan nasional dengan meletakkan syarat kepujian dalam BM yang diamalkan sejak sekian lama sepatutnya dipertahankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan lulus BM peringkat SPM bagi lantikan kontrak ke jawatan pegawai perubatan Gred UD41.

Graduan perubatan yang dilantik secara kontrak sebagai pegawai perubatan UD41 perlu menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun.

Berita Harian X