Isnin, 3 Julai 2017 | 6:04pm

NUTP bantah, mahu Kredit dalam BM

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah kelonggaran syarat Lulus Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada graduan bagi lantikan pegawai perubatan kontrak.

Malah, Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, mahu supaya syarat yang lebih tinggi iaitu Kredit dalam subjek itu, bukan sekadar Lulus.

Katanya, Bahasa Melayu bukan sekadar subjek yang perlu lulus di peringkat sekolah, malah ia juga adalah satu penghayatan dan percakapan yang akan digunakan seseorang bakal doktor kepada rakyat Malaysia kelak.

"Disebabkan itu, mereka perlu fasih dalam bahasa kebangsaan. Ketua Pengarah Kesihatan sepatutnya meletakkan syarat yang lebih tinggi iaitu Kredit bagi mata pelajaran ini dan bukan sekadar Lulus walaupun untuk lantikan secara kontrak.

"Barisan EXCO NUTP tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana secara rasional dan umumnya rakyat Malaysia tahu akan kedudukan bahasa Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

"Sehubungan itu, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan mengenai perkara ini perlu dijelaskan dengan lebih terperinci," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kebenaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada graduan perubatan berkelayakan untuk diberi kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu peringkat SPM, untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41.

Berita Harian X