Isnin, 3 Julai 2017 | 8:19pm

JPA tidak patut kecualikan syarat lulus BM

DATUK Zainal Abidin Borhan.- Foto NSTP
DATUK Zainal Abidin Borhan.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak sepatutnya mengecualikan syarat lulus Bahasa Melayu dalam SPM untuk pegawai perubatan kontrak Kementerian Kesihatan kerana pemohonnya adalah dari kalangan warga negara.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata ini kerana JPA selaku institusi tertinggi bertanggungjawab kepada segala peraturan dan syarat perkhidmatan awam.

"Sebagai warga negara, mereka sepatutnya sudah memiliki syarat minimum kelulusan Bahasa Melayu sekiranya mereka menempuh sistem pendidikan kebangsaan negara.

"Kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan memberi gambaran seolah-olah syarat pengecualian berkenaan sudah lama diberikan oleh JPA.

"Tindakan itu menjejas kewibawaan dan integriti serta rasa hormat rakyat dan warga negara kepada JPA," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kelonggaran itu adalah bagi memberi keadilan kepada graduan perubatan lantikan kontrak yang tidak menduduki peperiksaan bahasa Melayu semasa SPM.

Dr Noor Hisham berkata, kelonggaran itu bukan perkara baharu kerana lantikan kontrak bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan bukan warga negara juga tidak memerlukan kelulusan bahasa Melayu SPM.

Katanya, tindakan itu juga selari dengan persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran syarat kelayakan lulus bahasa Melayu peringkat SPM bagi lantikan kontrak ke jawatan pegawai perubatan Gred UD41.

Zainal Abidin berkata, GAPENA membantah dengan keras tindakan Kementerian Kesihatan dan JPA mengecualikan syarat lulus Bahasa Melayu SPM Pegawai Perubatan Kontrak UD41 kementerian berkenaan.

"JPA dan Kementerian Kesihatan antara institusi atau agensi rasmi Persekutuan untuk melaksana dan melindungi serta menjaga keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

"Tindakan pengecualian syarat lulus Bahasa Melayu berkenaan bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa

Kebangsaan.

"Malah kedua-dua institusi itu ingkar dengan Wasiat Raja-Raja Melayu yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Malaysia," katanya.

Berita Harian X