Selasa, 11 Julai 2017 | 1:29pm

PINTA gesa tindakan susulan sewajarnya

PRESIDEN PINTA, Ustaz Mohd Zahid Mahmood. - Foto Halim Salleh
PRESIDEN PINTA, Ustaz Mohd Zahid Mahmood. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) memohon agar polis dan pendakwa raya mengambil inisiatif sewajarnya susulan perkembangan dan dapatan terakhir dalam kes kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Presiden PINTA, Mohd Zahid Mahmood, berkata langkah itu bagi memastikan segala tuduhan dan persepsi negatif yang ditanggung pihak madrasah dan pembantu warden yang dituduh mendera pelajar itu selama ini, dapat diperbetulkan dengan sebaiknya.

"Pada masa sama, PINTA menyeru agar komuniti madrasah tahfiz terus berusaha menjadikan pusat pendidikan tahfiz masing-masing sebagai wadah terbaik bagi menjana agamawan serta daya sumber insan kamil.

"Langkah itu bersesuaian dengan falsafah Islam serta Dasar Pendidikan Tahfiz Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam, yang menyatakan bahawa kematian Mohamad Thaqif Amin, 11, April lalu berpunca daripada penyakit kencing tikus atau leptospirosis dan bukannya kerana trauma atau kecederaan dialami.

Pelajar terbabit meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, pada 26 April sebelum sempat menjalani pembedahan memotong tangan kanannya, yang dijangkiti bakteria selepas cedera dipercayai didera pembantu warden.

Sebelum itu, kedua-dua kaki pelajar itu dipotong akibat jangkitan sama. - BERNAMA

Berita Harian X