Rabu, 12 Julai 2017 | 1:25pm

JKM pernah siasat kes Muhamad Al Fateh

KAWASAN perumahan dipercayai diduduki mangsa dera, Muhamad Al Fateh Abdullah. - Foto Essa Abu Yamin
KAWASAN perumahan dipercayai diduduki mangsa dera, Muhamad Al Fateh Abdullah. - Foto Essa Abu Yamin

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor pernah menjalankan siasatan serta pemeriksaan dan berpuas hati tiada unsur pengabaian atau penderaan berlaku terhadap Muhamad Al Fateh Abdullah, yang disahkan meninggal dunia semalam dipercayai akibat didera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff, mengakui pihaknya menerima laporan hospital mengenai berlaku pengabaian terhadap budak lelaki berusia 21 bulan pada April lalu sebelum menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan dan pemeriksaan itu dilakukan terhadap fizikal kanak-kanak berkenaan, keluarga angkatnya serta tempat tinggalnya selepas menerima laporan.

"Pada 6 April lalu, pihak hospital menghubungi JKM dan meminta kami hadir bagi menjalankan siasatan susulan seorang pesakit mereka yang disyaki didera. Kanak-kanak itu ditahan di wad akibat nafasnya yang laju selain didapati terdapat parut.

"JKM menjalankan siasatan. Kita melihat keadaan fizikal kanak-kanak itu dan menemubual keluarga angkatnya, selain turut pergi ke rumahnya. Dia tidak ditempatkan ke pusat kanak-kanak selepas ibu bapanya merayu dan berjanji tidak berlaku pengabaian.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan dijalankan JKM kemudian berpuas hati tiada unsur pengabaian atau penderaan berlaku ke atas kanak-kanak berkenaan sebelum memutuskan untuk menyerahkan semula kepada keluarga angkatnya," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Muhamad Al Fateh, yang bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), menghembuskan nafas terakhir jam 12.45 tengah hari semalam selepas enam hari bertarung nyawa.

Asiah berkata, bayi itu sudah empat kali dimasukkan ke hospital dalam tempoh November tahun lalu hingga Julai lalu bagi menjalani rawatan berhubung penyakit berjangkit iaitu tibi.

Beliau berkata, pada November tahun lalu, pihaknya juga pernah menerima panggilan hospital selepas menjumpai kesan retak lama pada tangan kanannya dan ketika siasatan serta pemeriksaan dilakukan dalam tempoh itu juga tiada unsur pengabaian atau penderaan dipercayai berlaku.

Asiah berkata, pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan hospital pada hari ini dan menyerahkan siasatan kes kepada polis bagi mengenal pasti punca kematian kanak-kanak terbabit.

Berita Harian X