Khamis, 13 Julai 2017 | 5:21pm

MH17: Lukisan Muhamad Afif kumpul dana bina surau


ANWAR Zafran Zamzuri dan Nur Sabrina Irwan Zulkarnain menunjukkan lukisan mangsa tragedi MH17, Muhamad Afif Tambi yang dicetak pada baju T yang akan dijual bagi mengumpul dana pembinaan surau wakaf di kampung halaman keluarganya di Kuching, Sarawak. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Dua lukisan mangsa tragedi MH17, Muhamad Afif Tambi, 19, yang dicetak pada baju T akan dijual bagi mengumpul dana pembinaan surau wakaf di kampung halaman keluarganya di Kuching, Sarawak.

Sepupu Allahyarham, Anwar Zafran Zamzuri, 19, berkata lukisan berkenaan yang masing-masing menggambarkan seorang kanak-kanak perempuan melihat sayap pesawat dan seorang lelaki sedang melakukan terjunan bebas di udara dijumpai di rumah keluarga Muhamad Afif di Kuala Lumpur, beberapa hari selepas tragedi itu.

Beliau dan keluarga menyifatkan lukisan itu seperti ada kaitan dengan tragedi yang meragut kesemua 298 nyawa itu, tiga tahun lalu.

"Kami menemui lukisan ini di bilik Muhamad Afif ketika mengemas rumah keluarganya.

"Kami kemudian mencetak lukisan ini di atas baju T dan menjualnya bagi mengumpul dana membina surau wakaf yang dinamakan Surau Al-Ghazali," katanya ketika ditemui selepas Majlis Peringatan Sempena Ulangtahun Tragedi MH17 Ke-3 di sini, hari ini.

Muhammad Afif sekeluarga, termasuk bapanya, Tambi Jiee, 49, ibu, Ariza Ghazalee, 46 dan tiga adiknya, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13, terkorban nahas pesawat itu.

Seorang lagi sepupu Muhamad Afif, Nur Sabrina Irwan Zulkarnain, 20, berkata, lukisan itu dipercayai dilukis dua bulan sebelum kejadian kerana Allahyarham yang sememangnya gemar melukis ada menghantar gambar lukisan itu beliau melalui pesanan telefon bimbit.

Sementara itu, bapa kepada seorang lagi mangsa, Mohd Ali Md Salim, 29, iaitu Md Salim Sarmo, 68, berkata, beliau berharap penjenayah yang menembak jatuh pesawat itu akan dibawa ke muka pengadilan.

"Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pihak kerajaan. Semua waris mengharapkan keadilan bagi kes ini dan saya akan tunggu," katanya.

68 dibaca
Berita Harian X