Khamis, 13 Julai 2017 | 6:02pm

16,534 kampung dapat manfaat 'iDesa'

TIMBALAN Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Tahun 2017 Zon Utara di sini, hari ini.
TIMBALAN Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Tahun 2017 Zon Utara di sini, hari ini.

BEHRANG: Sebanyak 16,534 kampung seluruh negara mendapat manfaat pelancaran aplikasi 'iDesa' yang menyediakan platform perkongsian maklumat asas kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata aplikasi itu yang boleh diakses menerusi telefon mudah alih selepas dimuat naik di Play Store itu bertujuan mempercepatkan perancangan pembangunan kampung.

Katanya, ia membabitkan prasarana, promosi produk kampung dan sumber ekonomi desa.

"Pada masa sama, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu main peranan menyebarkan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada masyarakat luar bandar.

"Ia menepati tugas JKKK sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan dasar dan situasi semasa negara kepada penduduk kampung menerusi saluran maklumat yang tepat.

"Penyampaian maklumat berkenaan juga perlu disebarkan dengan pantas untuk menghindari kekeliruan dan kebimbangan rakyat," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Tahun 2017 Zon Utara di sini, hari ini.

Berita Harian X