Jumaat, 14 Julai 2017 | 9:32pm

MRT Fasa 2: Laluan Muzium Negara-Kajang dibuka Isnin ini 


SUASANA selesa dapat dilihat di dalam tren Transit Aliran Massa (MRT) yang mesra pengguna serta mesra pengguna Orang Kelainan Upaya (OKU) pada tinjauan. - Foto BERNAMA

 

KUALA LUMPUR: Fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) laluan Muzium Negara-Kajang akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 4 petang, pada Isnin ini.

Orang ramai boleh mula menggunakan kemudahan itu selepas majlis pelancaran fasa itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman, berkata pengguna dari stesen Kajang ke stesen Muzium Negara boleh ke stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki bawah tanah mulai jam 4 petang sehingga tamat waktu perkhidmatan MRT pada hari berkenaan.

"Hubungan ke fasa pertama laluan MRT Sungai Buloh-Semantan dan stesen integrasi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Sri Petaling serta Ampang hanya akan dibuka bermula jam 6 pagi keesokannya, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi fasa kedua MRT laluan Semantan-Kajang melengkapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51 kilometer (km).

Jajaran keseluruhan 51km itu merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah, Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang berintegrasi dengan Laluan LRT di stesen Pasar Seni, Maluri, dan Merdeka, yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Jajaran itu turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM dan ERL di Stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral.

Stesen MRT Bukit Bintang juga disambungkan dengan stesen monorel Air Asia-Bukit Bintang.

Serentak dengan pembukaan fasa kedua laluan MRT itu, perkhidmatan bas perantara untuk stesen yang baharu dibuka turut dimulakan, sekali gus meluaskan liputan bas perantara yang disediakan oleh Rapid Bus Sdn Bhd kepada 23 laluan tambahan merentasi 12 stesen MRT yang baharu.

Sebanyak 100 bas perantara tambahan disediakan untuk menghubungkan penduduk di kawasan perumahan dan komersial yang berhampiran dengan stesen MRT terpilih.

Fasa pertama membabitkan laluan Sungai Buloh-Semantan sepanjang 21km, mula beroperasi pada 16 Disember tahun lalu.

Berita Harian X