Sabtu, 15 Julai 2017 | 3:55pm

Skim cepat kaya sasar pesara swasta

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

KOTA KINABALU: Pekerja swasta yang mencapai umur layak bagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi sasaran skim cepat kaya yang menawarkan pakej pengeluaran simpanan keseluruhan untuk pelaburan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata segelintir pencarum yang mencapai umur persaraan menjadi mangsa selepas tertarik dengan pelaburan yang kononnya menawarkan pulangan lumayan.

Beliau berkata, ramai ahli tidak menyedari skim yang ditawarkan bertujuan untuk menindas dan mengaut duit mereka kerana sebahagian besar daripada wang simpanan yang dikeluarkan diambil ejen skim terbabit.

Katanya, ejen terbabit menggunakan taktik meyakinkan ahli KWSP untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan dan hanya menyedari ditipu apabila sebahagian besar wang yang dikeluarkan habis tanpa apa-apa pulangan.

"Ia adalah skim pengeluaran yang palsu, di mana sindiket ini akan memberi jaminan atau memberi satu syor kepada ahli bahawa mereka boleh mengeluarkan duit kita (ahli) secara keseluruhan tetapi mereka akan mengambil antara 30 peratus hingga 40 peratus.

"Jadi, ia sebenarnya adalah tipu helah terhadap ahli KWSP dan kesannya mereka akan kehilangan duit simpanan," katanya kepada media selepas pelancaran Bicara Persaraan KWSP di sini, hari ini.

Program berkenaan disempurnakan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azzadin Ngah Tasir.

Shahril Ridza mengingatkan pencarum KWSP supaya tidak terpedaya dengan skim pelaburan mencurigakan yang ditawarkan menerusi pengeluaran simpanan KWSP, terutama golongan pesara swasta.

Katanya, KWSP menyediakan khidmat nasihat percuma mengenai pengurusan wang simpanan bagi pesara swasta, termasuk berkaitan kaedah pengeluaran yang boleh dibuat bagi memenuhi keperluan kewangan persaraan ahli.

Dalam hal lain, Shahril Ridza berkata, KWSP mencatat pencapaian menggalakkan sepanjang penggal pertama tahun ini dengan perolehan pendapatan mencatat 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pencapaian itu katanya, disebabkan pasaran saham yang lebih stabil dan menggalakkan di Bursa Malaysia yang sebelum ini merekodkan urus niaga negatif selama tiga tahun berturut-turut.

"Perkembangan ini menunjukkan KWSP ada peluang untuk merealisasikan keuntungan untuk penggal yang pertama tahun ini tetapi bagi unjuran (keuntungan dan dividen) sepanjang tahun, agak sukar untuk kita menentukan kerana ada enam bulan lagi perlu ditempuhi," katanya.

Berita Harian X