Sabtu, 15 Julai 2017 | 6:53pm

PM ajak rakyat nikmati kecanggihan MRT


Laman Twitter Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat untuk mengalami sendiri kecanggihan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) yang akan beroperasi sepenuhnya mulai Isnin ini.

"Bermula dari 4 petang pada 17 Julai 2017, sistem pengangkutan awam bertaraf dunia, MRT Sungai Buloh - Kajang, akan beroperasi penuh. Alami sendiri kecanggihan MRT bermula Isnin ini," kata Najib menerusi catatan Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, dalam catatannya di laman Twitter, beliau memuat naik grafik mengenai kekerapan tren dan bas pengantara yang disediakan bagi keperluan rakyat yang bakal menikmati kemudahan MRT.

Grafik itu memaparkan kekerapan tren bagi setiap 3.3 minit pada waktu puncak manakala perkhidmatan bas pengantara setiap 10 hingga 15 minit.

"Dulu, ramai cari jadual tren nak tahu pukul berapa sampai. Kini, perkhidmatan moden MRT & bas perantara memfokus kepada kekerapan #JomNaikMRT ," kata Najib.

Isnin ini, beliau dijadual melancarkan fasa kedua laluan SBK yang menyediakan perkhidmatan tren di keseluruhan laluan sepanjang 51 kilometer bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang itu.

Fasa kedua perkhidmatan itu mengandungi 19 stesen baharu dengan tujuh daripadanya terletak di bawah tanah.

Setiap tren bagi laluan SBK mempunyai empat gerabak dan mampu membawa 1,200 penumpang pada setiap perjalanan, dengan anggaran 400,000 penumpang sehari. - BERNAMA

Berita Harian X