Isnin, 17 Julai 2017 | 12:27pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memasuki tren untuk menuju ke Kajang pada majlis pelancaran MRT SBK di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba untuk menghadiri majlis pelancaran MRT SBK di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Asyraf Hamzah

MRT SBK percuma hingga malam ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan diskaun 50 peratus untuk tren Transit Aliran Ringan (LRT), Tren Aliran Transit Massa (MRT) dan Monorel mulai esok hingga 31 Ogos ini.

Perdana Menteri berkata, Perkhidmatan Tren Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) turut percuma untuk semua laluan bermula jam 4 petang ini hingga tengah malam.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran MRT SBK di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) di sini, hari ini.

Najib berkata, impak pelaksanaan MRT SBK fasa kedua bersifat menyeluruh dan dinikmati segenap lapisan masyarakat serta industri.

"Ia bukan sekadar satu bentuk kemudahan buat rakyat, malah menjadi galakan kepada projek pembangunan ekonomi setempat selain kawalan pencemaran udara.

"Lebih membanggakan, kos asal projek infra rakyat ini adalah RM23 bilion, namun selepas disiapkan, ia hanya berjumlah RM21 bilion, iaitu penjimatan RM2 bilion.

"Operasi MRT selepas ini akan kita serahkan kepada MRT Corp. Kita harap mereka mampu melaksanakannya pada tahap kecacatan sifar," katanya berucap pada majlis pelancaran itu.

Najib menjelaskan, penyertaan kontraktor Bumiputera dalam pelaksanaan projek MRT mencapai tahap 50 peratus dari segi nilai kontrak dianugerahkan.

Perdana Menteri berkata, sejumlah 51 peratus ruang niaga turut diberi kepada usahawan Bumiputera.

"Apabila ia membabitkan agenda Bumiputera, kita lihat ia tak menyebabkan kelewatan projek pun.

"Ia kerana kita bagi kepada Bumiputera yang layak dan bukan kroni. Kita buka tender dan syarikat Bumiputera terbaik saja dianugerahkan projek.

"Terbukti mereka mampu bersaing sesama sendiri. Bila kita amalkan prinsip ini, kita dapati projek MRT berjalan lancar dan kita boleh kerjasama dengan semua pihak kerana ini projek rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X