Isnin, 17 Julai 2017 | 1:59pm

'Guna pengalaman, fokus pasaran eksport'


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

KAJANG: Datuk Seri Najib Razak berbangga dengan pelaksanaan projek Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang direalisasikan menggunakan kepakaran tempatan.

Perdana Menteri berkata, pengalaman dan ilmu yang diraih menerusi projek itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi pasaran semasa terutama eksport.

"Saya bangga projek ini (MRT) dapat dilaksana menggunakan kepakaran Malaysia, syarikat Malaysia dan Bumiputera.

"Oleh itu, saya minta usaha ini tidak berhenti di sini saja," katanya berucap pada majlis Aidilfitri di Stesen MRT Stadium Kajang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Pada majlis sama, Najib turut menyerahkan sijil menerusi Program Usahawan Muda MRT Kedua (MYEP II) kepada 52 syarikat kontraktor muda Bumiputera.

MYEP II adalah inisiatif kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Program itu menyediakan latihan amali kepada graduan Bumiputera untuk melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran sebelum bergelar usahawan dalam industri pembinaan serta kereta api.

Perdana Menteri dan rombongan tiba kira-kira jam 12.20 tengah hari menaiki MRT selepas melancarkan MRT SBK fasa kedua di stesen Tun Razak Exchange (TRX), pagi tadi.

Beliau turut menyerahkan kad MyRapid Touch 'n Go kepada 20 individu daripada kategori pendapatan isi rumah B40.

Kira-kira 20,000 pengunjung memeriahkan majlis Aidilfitri termasuk kakitangan syarikat dan organisasi berkaitan projek MRT, pegawai kerajaan dan orang ramai.

Hadirin juga disajikan hidangan sate yang menjadi tarikan utama di bandar ini.

138 dibaca
Berita Harian X