Isnin, 17 Julai 2017 | 6:59pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua kiri) dan Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (kiri) ketika Majlis Aidilfitri Felcra Perak Berhad di Royal Perak Golf Club. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Perak-FELCRA teroka projek industri makanan

IPOH: Kerajaan Perak sedia bekerjasama dengan Felcra Bhd (FELCRA) bagi mengenal pasti lokasi dan tapak sesuai bagi melaksanakan projek berkaitan industri keselamatan makanan negara di negeri itu.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) mengetuk gong sebagai tanda perasmian Persidangan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu -isu dalam laporan Ketua Audit Negara sambil diperhatikan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Dr. Madinah Mohamad (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan di Hotel Casuarina Meru Ipoh. - Foto NSTP/L. Manimaran

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ia selaras dengan pelan perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai lembah makanan negara.

"Saya mengalu-alukan sekiranya FELCRA mempunyai perancangan melaksanakan projek keselamatan makanan negara di negeri ini kerana ia antara agensi yang bekerja baik dengan kerajaan Perak.

"Mereka (FELCRA) banyak memberi sumbangan kepada kerajaan negeri dalam aspek pembangunan tanah," katanya di sini.


Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (dua kanan) menyerahkan replika cek keuntungan FELCRA berjumlah RM1 juta kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua kiri) di Majlis Aidilfitri Felcra Perak Berhad di Royal Perak Golf Club. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Yang turut hadir, Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Mengenai hasrat untuk menjadikan Perak sebagai hab lembah makanan pula, Zambry berkata, kerajaan negeri mahu memastikan pelan perancangan lembah makanan negara itu menjadi lebih tersusun dan sistematik.

"Kita mengarahkan Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN) bekerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk bersama-sama mengenal pasti keseluruhan rupa bentuk tanah di negeri ini agar matlamat itu tercapai.

"Malah, kita sudah melaksanakan beberapa pendekatan strategik bagi memastikan sumber makanan yang mencukupi dapat disediakan untuk masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kerajaan negeri untuk bekerjasama dalam melaksanakan projek berkaitan keselamatan makanan di negeri terbabit. 

Beliau berkata, projek itu penting kerana setiap tahun Kerajaan Pusat mengimport barang mentah makanan bernilai kira-kira RM45.6 bilion dan dijangka terus bertambah pada masa akan datang.

"Oleh sebab itu, Kerajaan Persekutuan meminta FELCRA menjadi agensi yang mengetuai pelaksanaan projek keselamatan makanan bagi mengurangkan import makanan di negara ini," katanya.

213 dibaca
Berita Harian X