Isnin, 17 Julai 2017 | 10:32pm

4 kontena daging kambing campur babi dirampas

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing yang dibawa masuk dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, hari ini.


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad (kanan) bersama pegawainya menunjukkan daging sejuk beku dari Sepanyol percayai daging babi di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad, berkata bekalan daging anggaran 120 tan bernilai kira-kira RM2 juta yang diletakkan dalam kontena sejuk beku, dirampas dalam satu serbuan kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat awam pada 31 Mei lalu, pihaknya terus menyekat pergerakan kontena terbabit keluar dari kawasan pelabuhan, dan menjalankan siasatan bagi mengesan pengimport produk berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pengimport terbabit adalah pengusaha tempatan produk sejuk beku yang beroperasi di Selangor.

"Terdapat keraguan dari segi muatan kontena itu yang mengandungi daging kambing dan muatan berisi daging babi bercampur di dalam kontena yang sama.

"Pengusaha terbabit melanggar syarat permit mengimport daging yang sepatutnya hanya dibenarkan import dari Australia sahaja.

"Sebaliknya daging yang tiba di pelabuhan adalah dari Sepanyol termasuk daging yang disyaki babi," katanya hari ini.

Siti Nur berkata, setiap kontena dianggarkan mengandungi kira-kira 30 tan daging, selain pengimport itu sudah dipanggil untuk memberi penjelasan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

33581 dibaca
Berita Harian X